Memandu bawah pengaruh alkohol boleh dipenjara lebih lama

Memandu bawah pengaruh alkohol boleh dipenjara lebih lama

Menurut peguam S Jayananda Rao, mengikut trend hukuman semasa pesalah mungkin mendapat hukuman penjara antara tiga dan tujuh hari.

PETALING JAYA:
Mereka yang ditangkap memandu di bawah pengaruh alkohol tidak boleh mengharapkan hukuman ringan seperti sehari penjara dan denda jika mereka mengaku bersalah di mahkamah.

Peguam S Jayananda Rao berkata, mengikut trend hukuman semasa, pesalah mungkin dijatuhi hukuman penjara antara tiga dan tujuh hari.

“Mereka yang berniat untuk mengaku salah kini mahu dibicarakan kerana mereka tidak mahu dimasukkan ke penjara,” kata Jayananda, yang mengendalikan beberapa kes seperti itu sejak beberapa bulan lepas.

Beliau berkata, pesalah biasanya akan kekal berada di mahkamah sehingga habis waktu pejabat jika mahkamah mengenakan hukuman penjara sehari.

“Jika lebih daripada satu hari, pesalah akan dihantar ke penjara,” katanya sambil menasihati mereka yang mengambil alkohol dalam jumlah besar pada musim perayaan akan datang supaya meminta bantuan orang lain.

“Ambil perkhidmatan e-panggilan atau aturkan seseorang menghantar anda pulang,” katanya kepada FMT.

Penalti yang lebih berat terhadap mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol berkuat kuasa pada 23 Okt 2020 berikutan pindaan kepada Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan.

Mereka yang disabitkan kali pertama boleh didenda antara RM10,000 dan RM30,000, penjara sehingga dua tahun dan hilang kelayakan memandu selama dua tahun.

Sebelum ini, hukuman dikenakan ialah didenda antara RM1,000 dan RM6,000, penjara sehingga setahun dan larangan memandu maksimum 12 bulan.

Di bawah pindaan itu, mereka yang tahap alkoholnya 50mg setiap 100ml darah semasa memandu di bawah pengaruh alkohol telah melanggar undang-undang.

Sebelum ini, jumlahnya adalah 80mg setiap 100ml darah.

Jayananda berkata, beliau mendapat tahu daripada peguam di sekitar Lembah Klang bahawa pesalah dihantar ke penjara sehingga dua atau tiga minggu.

“Hukuman bergantung kepada tahap alkohol dalam darah dan faktor pengurangan yang lain,” katanya, selain menambah bahawa terdapat salah tanggapan bahawa pesalah hanya akan dihukum kerana memandu dalam keadaan mabuk.

“Anda masih di bawah pengaruh alkohol berdasarkan bacaan walaupun tidak mabuk,” katanya.

Suspek akan diminta untuk mengambil ujian “breathalyser”, biasanya di sekatan jalan raya yang dilakukan pihak polis.

Jika had alkohol dalam darah melebihi paras yang ditetapkan, polis akan menahan suspek dan kemudian menghantarnya untuk ujian darah di hospital kerajaan.

Suspek akan diberi jaminan polis sementara menunggu keputusan dan diarahkan hadir ke mahkamah untuk pendakwaan.

Jayananda percaya majistret mengenakan hukuman penjara yang lebih tinggi untuk menimbulkan kesedaran mengenai pindaan itu.

“Sekiranya mereka di bawah pengaruh alkohol menyebabkan kematian atau kecederaan kepada orang lain, kesannya amat berat,” katanya.

Beliau berkata, Seksyen 45A adalah perundangan sosial bagi melindungi orang ramai dan keselamatan mereka amat penting.

“Hukuman adalah mengikut budi bicara majistret tetapi dalam mempertimbangkan hukuman yang setimpal, mahkamah akan mengambil kira kepentingan awam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.