
Katanya, tuduhan konon kumpulan kluster mahkamah dalam Umno menjadi pencatur mengembalikan Umno menjadi kerajaan hanya satu-satunya modal dimiliki lawan, memandangkan propaganda kononnya wujud gerakan kerjasama dengan pembangkang dan menjatuhkan Perdana Menteri yang dicanang sebelum ini tidak lagi berhasil.
“Dakwaan konon saya berusaha mengembalikan kerajaan Umno, BN disebabkan kes mahkamah itulah satu-satunya propaganda politik yang masih mereka miliki.
“Propaganda saya mahu Umno-BN bekerjasama dengan parti itu sudah berakhir. Begitu juga propaganda menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri terdahulu kerana tamakkan kuasa,” katanya di Facebook.
Zahid sekali lagi menegaskan, beliau bertekad membersihkan namanya di mahkamah.
“Biarpun ramai berpandangan ia adalah pendakwaan politik dan terpilih selepas Umno-BN tewas PRU14 angkara fitnah dan pembohongan, beranilah atas nama kebenaran.
“Sesungguhnya saya terima dakwaan sedang berusaha mengembalikan kerajaan Umno-BN kerana itulah tanggungjawab serta fungsi Presiden Umno dan Pengerusi BN,” katanya.
Walaupun tidak menamakan siapa yang dimaksudkan, ia dipercayai merujuk kepada kenyataan Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan sebelum ini, yang mendakwa PRN Johor diadakan atas usaha kluster mahkamah dan pendukung yang mahu mengalih perhatian daripada kes sedang dihadapi mereka.