
Pertemuan yang berlangsung di Perdana Putra itu turut dihadiri Presiden BAM, Mohamad Norza Zakaria, kepimpinan tertinggi persatuan serta bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei.
Ismail menerusi hantaran di Facebooknya berkata, dalam sesi pertemuan itu, beliau gembira kerana berjaya menghasilkan perbincangan bermanfaat.
“Alhamdulillah semua selesai. Semoga sukan badminton negara terus cemerlang di pentas dunia dan Jalur Gemilang kembali berkibar di luar negara,” tulisnya.
Baru-baru ini media melaporkan, BAM mengesahkan menerima surat rayuan daripada Zii Jia berhubung larangan menyertai kejohanan antarabangsa selama dua tahun.
BAM mengumumkan larangan itu minggu lalu selepas Zii Jia menarik diri daripada skuad kebangsaan.

Badan induk badminton negara yang dipetik sebagai berkata, pihaknya akan meneliti perkara berkenaan secepat mungkin bagi mencari penyelesaian terbaik.
Kemelut itu turut menarik perhatian Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu yang kemudiannya menemui Zii Jia untuk mendengar pandangan pemain nombor satu negara itu.
Zii Jia kini berada di ranking ketujuh dunia Persekutuan Badminton Dunia tetapi larangan itu menimbulkan persoalan terhadap masa depannya dalam sukan berkenaan.