Jangan salahkan Umno jika ‘serangan’ sempitkan kerjasama, Shahril bidas Mokhtar Senik

Jangan salahkan Umno jika ‘serangan’ sempitkan kerjasama, Shahril bidas Mokhtar Senik

Shahril Hamdan berkata Umno tidak pernah menghalang atau memperlekeh hak dan cita-cita parti lain seperti PAS, malah mengiktirafnya.

Mokhtar Senik (kanan) sepatutnya memberi pandangan secara berhemah dan lebih cermat serta tidak seperti mahu mengajar Umno, menurut Shahril Hamdan.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno membidas kenyataan ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat Mokhtar Senik yang mendakwa parti Melayu itu seperti kembali dirasuk sifat asalnya, iaitu tamak kuasa dan rakuskan kerusi.

Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan berkata, jangan salahkan partinya jika kenyataan seperti Mokhtar itu menyempitkan ruang untuk hendak bekerjasama.

“Dalam soal PRN Johor, kepimpinan tertinggi Umno di negeri dan pusat, pengerusi Perhubungan mahupun timbalan presiden semalam menyebut bahawa parti akan mengkaji dan memuktamadkan sebarang keputusan sama ada bekerjasama dengan parti lain atau tidak untuk pilihan raya negeri (PRN) Johor.

“Namun, jangan salahkan Umno jika kenyataan seperti Mokhtar ini menyempitkan ruang untuk hendak bekerjasama dengan kawan yang menyerang serupa lawan,” katanya di Facebooknya.

Semalam Mokhtar berkata, Umno kini seperti kembali dirasuk sifat asalnya, iaitu tamak kuasa dan rakuskan kerusi selepas parti Islam itu hanya ditawarkan empat kerusi oleh Umno sekiranya mahu bekerjasama dalam PRN Johor.

Dakwanya, kemenangan Umno dalam beberapa siri pilihan raya kecil sebelum ini juga adalah hasil bantuan dan pertolongan PAS dan ternyata parti itu sama sekali sudah lupa mengenainya.

Dalam pada itu, Shahril juga berpandangan jika Mokhtar hendak memberi pandangan, eloklah ia dibuat secara berhemah.

“Tiada halangan untuk parti lain beri pandangan, tapi biarlah lebih cermat dan tidak seperti mengajar Umno apa ia boleh buat atau tidak boleh buat,” katanya.

Shahril juga berkata, Umno tidak pernah menghalang atau memperlekeh hak dan cita-cita parti lain seperti PAS malah mengiktirafnya.

Sementara itu, ahli Majlis Tertinggi Umno Ahmad Shabery Cheek berkata, tindakan PAS yang sanggup meninggalkan logo asal mereka dan menggunakan logo lain untuk menentang BN dalam PRN Melaka jelas menunjukkan pelanggaran garisan batas bersahabat.

“Saya tak tahu apa yang dirundingkan di Johor. Sebenarnya ustaz nak berapa kerusi? Lagi pun masa di Melaka parti ustaz memilih bersama parti lain untuk lawan BN.

“Sanggup tinggalkan logo asal dan gunakan logo lain lawan BN di semua kerusi. Rasanya itu cukup jelas tentang pelanggaran garisan batas bersahabat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.