
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Masidi Manjun berkata tiga kluster baharu itu juga telah meningkatkan kes harian negeri dalam tempoh 24 jam lalu kepada 342, bertambah tujuh kes berbanding semalam.
Katanya, kluster Jalan Kiulu dicetuskan oleh pelajar berusia 14 tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad di Tuaran.
Pelajar itu mengalami simptom pada 17 Jan dan disahkan positif Covid-19 selepas ujian RT-PCR di klinik berhampiran.
“Saringan kontak rapat berikutnya mendapati 14 yang lain dijangkiti,” katanya dalam laporan analisis harian Covid-19 hari ini.
Katanya, Jabatan Kesihatan Sabah masih menyiasat bagaimana wabak itu berlaku tetapi mereka percaya ia bermula daripada interaksinya dengan orang lain di asramanya dan pelajar itu kini dirawat sebagai pesakit Kategori 1 dan 2.
Masidi berkata, dua lagi kluster, iaitu Jalan Terusan di pantai timur daerah Lahad Datu, dan Puri Seberang di Keningau, menyumbang 29 kes kepada jangkitan hari ini.
Kluster Jalan Terusan dicetuskan oleh pelajar tingkatan 1 berumur 13 tahun di SMK Terusan manakala kluster Puri Seberang oleh pelajar tingkatan 5 berumur 18 tahun di SMK Keningau.
FMT telah menghubungi Pengarah Kesihatan Sabah Dr Rose Nani Mudin untuk mendapatkan ulasan.
Semalam, Masidi memberi amaran bahawa lebih banyak kluster Covid-19 membabitkan sekolah akan muncul dalam beberapa hari akan datang selepas enam kluster seumpama itu dikesan dalam tempoh dua minggu di negeri ini.
Beliau mengeluarkan amaran itu selepas menerima laporan daripada jabatan kesihatan mengenai saringan kontak rapat dalam kalangan pelajar asrama di enam sekolah berkenaan.