
Majlis Presiden PH dalam kenyataan hari ini berkata, gabungan itu yang terdiri daripada PKR, Amanah dan DAP turut bersetuju untuk berunding dengan parti MUDA berhubung pembahagian kerusi.
“Majlis Presiden hari ini mengulangi pendirian akan meneruskan rundingan kerjasama dan pembahagian kerusi dengan semua parti pembangkang termasuklah Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
“Hal ini akan memperkukuh saingan blok pembangkang dalam mendepani pilihan raya negeri Johor yang akan datang,” kata kenyataan itu.
Majlis Presiden PH yang dianggotai oleh Anwar Ibrahim (PKR), Mohamad Sabu (Amanah), Lim Guan Eng (DAP) dan Madius Tangau (UPKO) itu berkata, PH juga memberikan penghargaan kepada pasukan rundingan kerusi yang masing-masing diwakili Syed Ibrahim Syed Noh, Jimmy Puah Wee Tse, Naim Jusri dan Akmal Nasir (PKR), Liew Chin Tong, Teo Nie Ching, Sheikh Umar Bagharib Ali dan Andrew Chen Kah Eng (DAP) dan Aminolhuda Hassan, Dzulkefly Ahmad, Suhaizan Kaiat dan Abdul Hamid Jamah (Amanah).
PRN Johor diadakan selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada Sabtu lalu berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada PRN.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memaklumkan tarikh penting, iaitu hari penamaan calon, hari mengundi awal dan mengundi biasa bagi PRN Johor yang akan diumumkan selepas mesyuarat khas badan itu pada 9 Feb ini.