
Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata bertindak hasil maklumat dan risikan sejak sebulan lalu, polis menahan seorang lelaki berusia 43 tahun di Bukit Minyak, dekat Bukit Mertajam, pada jam 5 petang 20 Jan lalu.
“Pemeriksaan ke atas lelaki itu yang merupakan pemilik bengkel besi, menemukan tiga bungkusan plastik warna kuning bertulis ‘daguanyin’ iaitu jenama teh Cina mengandungi syabu seberat 3,162 gram (g) bernilai RM113,832, sebelum membawa kepada serbuan ke dua di rumah suspek juga di Bukit Minyak.
“Dalam serbuan kedua itu, polis menahan suri rumah berusia 30 tahun yang merupakan isteri lelaki tersebut dan merampas 20 bungkusan syabu juga dalam plastik jenama teh Cina seberat 20,800g bernilai RM748,800 serta ketamin seberat 1,289g bernilai RM70,895 dan 58,750 biji pil eramin 5 bernilai RM881,250,” katanya memetik laporan Bernama.
Beliau berkata, polis seterusnya menahan seorang lagi lelaki di Butterworth dan pemeriksaan dalam kereta suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu, menemukan empat bungkusan ketamin seberat 3,250g bernilai RM178,750.
Mohd Shuhaily berkata, dalam serbuan ke empat, polis menahan seorang lagi lelaki yang bekerja di sebuah restoran dan merupakan ahli sindiket pengedaran dadah tersebut di Butterworth, dengan siasatan awal mendapati kegiatan sindiket tersebut bermula sejak awal 2021.
“Susulan empat penahanan tersebut, polis turut menyita lapan kenderaan mewah bernilai RM987,000, wang tunai (RM303,905), barangan kemas (RM9,000) dan wang dalam akaun (RM12,463) manakala semua dadah yang dirampas bernilai hampir RM2 juta,” katanya.
Menurutnya, pasangan suami isteri itu direman hingga esok, sementara dua lelaki yang masing-masing berusia 40 tahun direman hingga 30 Jan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam perkembangan lain, Mohd Suhaily berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri menahan 334 orang berusia antara 15 dan 61 tahun serta merampas dadah pelbagai jenis bernilai RM14,208 menerusi operasi Tapis Khas yang dijalankan di seluruh Pulau Pinang dari 21 hingga 23 Jan lalu.
“Mereka ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya Langkah-langkah Pencegahan Dadah 1985 kerana kesalahan mengedar dadah seramai 84 orang, memiliki dadah (154 orang) dan menagih dadah (96 orang). Turut disita tiga buah kereta,” katanya.