
Perkara itu dimaklumkan Fahmi dalam ciapan di Twitternya hari ini.
“Saya dan Maria dipanggil ke IPD Dang Wangi pada jam 9.30 pagi Jumaat, 28 Jan untuk dirakam percakapan berhubung kehadiran kami menerima memorandum isu saham Azam Baki di luar Parlimen pada 20hb Jan lalu,” katanya yang juga Pengarah Komunikasi PKR.
Pada 20 Jan lalu lebih 50 ahli Pemuda PKR berarak ke Parlimen untuk menggesa Azam meletak jawatan.
Sayap itu yang dipimpin Ketuanya, Akmal Nasir berhimpun di luar Parlimen untuk menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob; Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dan Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun.
Memorandum itu mengandungi lapan tuntutan, termasuk segera menggantung Azam dan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.
Tuntutan lain termasuk langkah mengelakkan rasuah pada masa depan seperti pindaan Akta SPRM untuk fungsi semak dan imbang lebih baik, meletakkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) bawah Parlimen dan perlindungan lebih baik di bawah undang-undang pemberi maklumat.