Masalah bekalan kentang goreng, McDonald’s hanya tawar set saiz sederhana

Masalah bekalan kentang goreng, McDonald’s hanya tawar set saiz sederhana

Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasaran McDonald's Malaysia Melati Abdul Hai berkata mereka berdepan kekurangan bekalan kentang goreng akibat masalah logistik di peringkat global.

Mcdonald’s Malaysia menerusi akaun Instagramnya sebelum ini memaklumkan bahawa hidangan kentang goreng bersaiz besar tidak ditawarkan bermula 24 Jan lalu kerana berdepan masalah kekurangan stok.
PETALING JAYA:
McDonald’s Malaysia mengalami kekurangan bekalan kentang goreng akibat masalah logistik di peringkat global hingga terpaksa “mencatu” hidangan itu dengan hanya menawarkan set bersaiz sederhana bermula 24 Jan lalu.

Menurut Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasarannya, Melati Abdul Hai, langkah itu terpaksa diambil bagi memastikannya boleh terus ditawarkan kepada pelanggan.

Katanya, masalah logistik itu bukan hanya dialami McDonald’s tetapi industri lain seperti makanan, perabot dan sebagainya turut terjejas dengan masalah ini.

“Kami sedang cuba menguruskan stok yang akan sampai dari Amerika Syarikat (AS) supaya tidak kehabisan.

“Jadi, kami hentikan dulu set hidangan besar dan pelanggan masih lagi boleh memesan hidangan kami bersaiz sederhana. Langkah ini terpaksa dilakukan kerana kami tidak mahu pengalaman pelanggan terjejas sekiranya stok kentang kehabisan bekalan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Mcdonald’s Malaysia menerusi akaun Instagramnya sebelum ini memaklumkan bahawa hidangan bersaiz besar tidak ditawarkan bermula 24 Jan lalu kerana berdepan masalah kekurangan stok.

Selain itu Melati berkata, pihaknya tidak boleh memberi jangka masa masalah itu akan berakhir.

“Berapa lama (masalah ini akan berterusan) kami tidak pasti. Ini kerana terdapat banyak punca menyebabkan masalah kekurangan bekalan kentang ini berlaku.

“Masalah serupa turut berlaku di Mcdonald’s di negara lain seperti Taiwan dan Jepun,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.