
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan MAIS untuk merayu selepas mendengar hujahan peguamnya, Haniff Khatri Abdulla dan Toh Lee Khim, peguam kepada ibu anak-anak itu.
“Ini adalah keputusan sebulat suara kami. Isu ini telah diselesaikan dalam kes M Indira Gandhi,” kata Tengku Maimun, merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2018 yang memutuskan bahawa persetujuan ibu dan bapa diperlukan untuk menukar agama anak-anak.
Hakim lain yang bersidang adalah Vernon Ong dan Hasnah Mohammed Hashim.
Tengku Maimun juga menegaskan, Seksyen 117 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) dengan jelas menyatakan bahawa kedua-dua ibu dan bapa mesti bersetuju dengan pertukaran agama anak-anak mereka.
Mahkamah memberikan RM30,000 sebagai kos kepada si ibu.
MAIS sebelum ini memohon untuk merayu keputusan mahkamah rendah yang membenarkan permohonan ibu berusia 33 tahun itu untuk membatalkan penukaran agama lima anaknya kepada Islam, yang dilakukan secara sepihak oleh bekas suaminya.
Bekas suami wanita itu menukar agama lima anak mereka, berusia antara lapan dan 14 tahun, pada 2018 tanpa pengetahuan dan persetujuannya.
Beliau hanya mendapat tahu anak-anaknya beragama Islam selepas menerima surat daripada MAIS pada 2019.
Dalam membenarkan permohonan ibu itu, hakim Mahkamah Tinggi Tun Abd Majid Tun Hamzah berkata, keputusan dalam kes Indira Gandhi mengikat mahkamah rendah. Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu tahun lepas.