Kes mahkamah Zahid dilihat tak relevan dalam PRN Johor

Kes mahkamah Zahid dilihat tak relevan dalam PRN Johor

Penganalisis berpendapat, Barisan Nasional masih berpeluang baik untuk menang.

Berbanding presiden parti, penganalisis berpendapat, pemimpin tempatan dan negeri mempunyai lebih banyak pengaruh ke atas pengundi.
PETALING JAYA:
Penganalisis menjangkakan peluang Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya negeri (PRN) Johor masih baik walaupun Mahkamah Tinggi memerintahkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi membela diri atas semua 47 tuduhan rasuah, pecah amanah jenayah (CBT) dan pengubahan wang haram baru-baru ini.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara dan Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya berkata, mereka percaya prestasi BN di Melaka November lepas menunjukkan masalah undang-undang pemimpinnya tidak mempengaruhi peluang gabungan itu dalam PRN.

BN memperoleh majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka walaupun beberapa ahli parti, termasuk Zahid dan bekas Perdana Menteri, Najib Razak, terlibat dengan kes mahkamah.

“Saya tidak nampak kes mahkamah Zahid memberi kesan negatif kepada parti,” kata Azmi kepada FMT.

Azmi Hassan.

“Saya tidak rasa Presiden parti memainkan peranan penting dalam memastikan kemenangan dalam PRN. Pemimpin tempatan dan negeri mempunyai lebih banyak pengaruh ke atas pengundi.”

Awang Azman berkata, perintah Mahkamah Tinggi “bukan faktor” disebabkan pengaruh besar Zahid ke atas penyokong akar umbi.

“Lagipun, dalam konteks undang-undang, seseorang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah,” katanya.

Zahid dibicarakan atas tuduhan pengubahan wang haram dan CBT membabitkan dana Yayasan Akalbudi bernilai jutaan ringgit dan menerima rasuah semasa menjadi Menteri Dalam Negeri. Sebanyak 12 dakwaan membabitkan CBT, lapan untuk rasuah dan selebihnya pengubahan wang haram.

Seramai 99 saksi telah memberi keterangan dalam perbicaraannya yang bermula pada 18 Nov 2019.

Azmi berkata, perintah mahkamah itu tidak memberi sebarang kelebihan kepada pembangkang di Johor.

“Saya rasa BN akan memenangi PRN Johor, bukan kerana parti itu kuat, tetapi kerana pembangkang terlalu lemah sekarang,” katanya.

“Saya tidak pasti sama ada parti pembangkang boleh mengekalkan kerusi DUN mereka.”

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim berkata, gabungan itu akan mengumpulkan semua parti politik, termasuk Warisan, MUDA dan Pejuang untuk bertanding di semua 56 kerusi DUN Johor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.