Gelombang Omicron bermula, kata KJ

Gelombang Omicron bermula, kata KJ

Bagaimanapun Menteri Kesihatan itu yakin penularan mampu dikawal menerusi kadar vaksinasi tinggi.

Khairy Jamaluddin berkata sistem kesihatan sudah bersiap siaga untuk berdepan peningkatan kes membabitkan varian Omicron.
PETALING JAYA:
Malaysia bakal menyaksikan peningkatan kes membabitkan varian Omicron, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

“Gelombang Omicron bermula di Malaysia,” katanya dalam ciapan di Twitter.

Katanya, kes membabitkan varian itu dibimbangi akan meningkat, namun diyakini berada dalam kawalan mengambil kira kadar vaksinasi tinggi.

“Sistem kesihatan sudah bersiap siaga. Kes serius semakin kurang. Sama-sama kita mengatasi gelombang ini,” katanya.

Khairy juga memaklumkan kes Kategori 3, 4 dan 5 kini menunjukkan penurunan.

Kes pertama Omicron dikesan di negara ini membabitkan sampel seorang pelajar dari Afrika Selatan, yang tiba ke negara ini pada 19 Nov lalu.

Sejumlah 601 kes Omicron dikesan di negara ini sehingga semalam, dengan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, menyatakan sejumlah 162 kes baharu Omicron direkodkan sejak minggu lalu.

Dalam pada itu, sebanyak 6,188 kes Delta, 233 kes Beta dan 14 kes Alpha, dikesan dalam tempoh sama.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), semalam, berkata tahap risiko membabitkan varian Omicron kekal tinggi, di mana jumlah kes baharu Covid-19 mencapai rekod baharu, minggu lalu.

Badan kesihatan antarabangsa itu berkata, Omicron kekal menjadi penyumbang dominon di peringkat global dalam kalangan varian membimbangkan (VOC) dengan Omicron menyumbang 89.1% sampel dikumpul dalam tempoh 30 hari terakhir, disusun serta dimuat naik ke inisiatif sains global Gisaid.

Agensi berita AFP melaporkan, Delta menjadi varian dominon sebelum ini kini hanya mewakili 10.7%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.