
MMA berkata, langkah menghentikan pengamal perubatan swasta daripada memberikan suntikan vaksin dianggap tidak adil kepada kebanyakan doktor yang secara profesional mengekalkan “standard etika tertinggi” dalam amalan mereka.
“Mereka tidak harus dihukum atas perbuatan oleh segelintir orang lain,” kata Presiden MMA Dr Koh Kar Chai kepada FMT.
“Ini adalah isu integriti. MMA akan menyokong tindakan paling tegas diambil terhadap mana-mana pengamal perubatan yang didapati terlibat dalam perbuatan tidak bertanggungjawab dan jenayah.”

Polis membongkar kegiatan penjualan sijil vaksin Covid-19 oleh klinik di lima negeri bulan ini. Sebuah klinik di Terengganu dikesan telah mengeluarkan 1,900 sijil berkenaan.
Manakala itu, sebuah klinik lain di Selangor didapati mendaftarkan 5,601 pesakit sebagai penerima vaksin walaupun mereka tidak divaksinasi.
Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang boleh menyebarkan penyakit berjangkit dan Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang berkaitan dengan kesalahan memberikan maklumat palsu.

Azrul Mohd Khalib dari Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berkata, pengamal perubatan swasta harus dibenarkan untuk meneruskan pemberian suntikan vaksin kepada orang ramai selain menekankan peranan utama yang dimainkan mereka dalam pemberian dos penggalak.
“Doktor swasta melaksanakan 70% daripada pemberian dos penggalak, jadi mereka menjadi komponen penting dalam program vaksinasi,” katanya.
“Kita tidak seharusnya bertindak keterlaluan. Sebaliknya kita perlu memberi tumpuan kepada kejayaan program ini.”
ProtectHealth yang mengurus pengamal perubatan swasta di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, telah memberi 73% daripada 9.3 juta dos penggalak setakat 16 Jan.