
Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat, berkata dua lelaki berusia 31 dan 34 tahun itu ditahan dalam serbuan bermula 4 petang hasil maklumat diperolehi menerusi Op Tapis.
Beliau berkata, suspek berusia 34 tahun ditahan dalam sebuah kenderaan di Kempas bersama syabu seberat 4.06 kg dan 1.1kg ketamin, manakala lelaki berusia 31 tahun itu pula ditahan di sebuah rumah di Nusa Bestari bersama rampasan seberat 37.5kg syabu dan 6.1kg ketamin.
“Dipercayai dua lelaki ini daripada sindiket yang sama dan dipercayai telah aktif mengedar sejak tahun lepas,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata, semua dadah yang dirampas itu dipercayai boleh digunakan sebanyak 250,000 penagih dan lima kenderaan pelbagai jenis bernilai RM225,000, wang tunai RM1,500 dan barang kemas bernilai RM65,000 turut dirampas dalam serbuan itu.
Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, hasil ujian saringan air kencing terhadap dua individu itu mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine serta mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Beliau berkata, kedua-dua individu itu direman selama tujuh hari bermula 24 Jan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kamarul Zaman turut menjelaskan, 512 individu di negeri ini termasuk tiga warga asing dari Myanmar dan Indonesia, berusia 20 hingga 50 tahun dipercayai terlibat dalam aktiviti dadah telah ditahan dalam Op Tapis yang dijalankan bermula 21 hingga 23 Jan lalu.