
Naib Presiden Umno, Mahdzir Khalid berkata, apa jua strategi yang diambil akan diberikan sokongan padu oleh jentera parti.
“BN boleh menggunakan pendekatan dan strategi diambil semasa PRN Melaka kerana ia (BN) ada peluang untuk menang di Johor,” katanya kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.
Sebelum ini, BN Johor menyuarakan cadangan untuk bertanding tanpa kerjasama parti lain di luar gabungan itu kerana yakin akan menang di dua pertiga daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada PRN berkenaan.
Pada PRN Melaka Nov tahun lalu, BN menang 21 daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan, sekali gus mendapat majoriti lebih 2/3 kerusi dan berjaya menubuhkan kerajaan negeri.
Mengulas lanjut mengenai pertemuannya dengan Ahmad, beliau berkata, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan kerajaan negeri Kelantan hari ini bersetuju untuk mempercepatkan proses pengambilan tanah bagi projek berkepentingan rakyat.
“Pengambilan tanah itu membabitkan projek di bawah agensi KPLB, iaitu Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR). Pasukan petugas khas yang ditubuhkan sebelum ini akan diperkemaskan sebagai susulan kepada persetujuan yang dicapai hari ini dan menetapkan sasaran dalam tempoh lima bulan untuk menggerakkan inisiatif yang dipersetujui tersebut,” katanya.