Hantaran ‘Selamat Jalan?’, pembantu Kit Siang pula mohon maaf pada Najib

Hantaran ‘Selamat Jalan?’, pembantu Kit Siang pula mohon maaf pada Najib

Syahredzan Johan akui memberi komen pada hantaran pembantu Dr Mahathir yang mendakwa Najib Razak mengeluarkan kenyataan negatif berhubung kesihatan Mahathir.

Syahredzan Johan mengakui kesilapan kerana memberi komen mengenai hantaran berbaur fitnah terhadap Najib Razak di Twitter.
PETALING JAYA:
Selepas Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad memohon maaf kepada Najib Razak, kali ini Setiausaha Politik Lim Kit Siang, Syahredzan Johan pula tampil mengakui kesilapan kerana memberi komen mengenai satu hantaran berbaur fitnah di Twitter.

Peguam itu mengakui memberi komen pada hantaran pembantu Dr Mahathir Mohamad dikenali Adam Mukhriz yang mendakwa Ahli Parlimen Pekan itu mengeluarkan kenyataan negatif berhubung kesihatan Mahathir.

“Saya memberi komen di situ. Saya telah memadam komen berkenaan dan memohon maaf kepada anda (Najib) kerana menyangkakan perkara itu (hantaran jelik terhadap kesihatan Mahathir) adalah betul (dibuat di Facebook Najib),” katanya di Twitter.

Syahredzan membalas hantaran di Twitter Najib yang mendakwanya memberi respons terhadap dakwaan dibuat Adam itu.

Semalam, Amin memohon maaf dan menyedari kekhilafannya kerana berkongsi hantaran berbaur fitnah terhadap Najib.

Sebelum itu, bekas Perdana Menteri itu memberi amaran kepada Ahli Parlimen PKR berkenaan agar memadam hantaran mengaitkan namanya berhubung isu kesihatan Mahathir.

Najib memberi amaran akan menyaman Amin di ruangan komen laman Facebook (FB) wakil rakyat pembangkang itu selepas Amin membuat hantaran “Selamat jalan?” dengan tangkap layar menunjukkan akaun FB Najib Razak berhubung kesihatan bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.