Gelagat bersahaja kanak-kanak buat ‘liputan langsung’ kes penemuan ular, raih perhatian warganet

Gelagat bersahaja kanak-kanak buat ‘liputan langsung’ kes penemuan ular, raih perhatian warganet

Muhammad Hafiq Mohd Asyraf, 11, begitu bersemangat dan teruja melaporkan penemuan ular sawa dalam longkang tersumbat.

Aksi pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Selambau bercakap menggunakan loghat utara membuatkan ramai warganet terhibur.
PETALING JAYA:
Keletah kanak-kanak lelaki membuat ‘liputan’ secara langsung di Facebook berhubung penemuan seekor ular sawa mencuri perhatian warganet.

Video berdurasi dua minit 47 saat itu, memaparkan Muhammad Hafiq Mohd Asyraf, 11, menceritakan bahawa reptilia itu ditemui penduduk selepas mendapati air dalam longkang tersumbat, berdekatan pasar awam di Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah.

Memetik laporan Kosmo, aksi pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Selambau bercakap menggunakan loghat utara membuatkan ramai warganet terhibur, malah ada yang mengatakan dia berbakat menjadi wartawan.

“Bagus budak ni, penyampaiannya ‘clear’ (jelas), walaupun ada sedikit mengah (tercungap) tetapi tahap keyakinan dia tinggi, terbaik wartawan muda,” tulis Gagak Rimba.

Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Musang Berhantu.

“Selepas ini, semua wartawan tak boleh cari makan dan boleh bersara awal, adik ni tapau semua ‘job’ (kerja) wartawan,”ujarnya

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda Azahar Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.27 petang.

Katanya, empat anggota Skuad Bravo APM diketuai Siti Salmah Zakaria, bergegas ke lokasi dan tiba pada pukul 7.36 malam.

“Ular sawa sepanjang empat meter dengan berat 30 kilogram akhirnya berjaya ditangkap.

Reptilia itu tidak berdaya lagi untuk bergerak kerana kekenyangan setelah dipercayai menelan sesuatu di kawasan tersebut,” katanya.

Ular sawa yang ditangkap itu akan dilepaskan semula ke habitat asal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.