
Bekas Menteri Undang-undang itu berkata, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri Najib Razak secara terbuka menyokong PRU awal diadakan tetapi mendapat tentangan daripada pengkritik yang menuduh mereka mahu mendapatkan kuasa untuk membersihkan diri daripada dakwaan mahkamah.
Bagaimanapun Zaid berkata, PRU itu sepatutnya diadakan sejurus selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada awal 2020 dan digantikan dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin.
“Negara terdesak untuk mencari kepimpinan. Jika anda tidak mahu mengadakan PRU, anda menggunakan pelbagai alasan seperti mengisytiharkan darurat, mengatakan masih belum cukup vaksin, anda menyalahkan banjir, Omicron,” katanya kepada FMT.
“Dengan keadaan negara yang dilanda kesusahan, kita perlu mengharunginya dan mengundi pemimpin dengan sokongan majoriti.
“Orang ramai tidak harus memikirkan bahawa pemimpin Umno yang berdepan dengan kes di mahkamah sedang mencari jalan untuk menyelamatkan diri – malah mereka mungkin ditolak. Kenapa tidak adakan PRU dan tunjukkan kepada rakyat bahawa anda benar-benar memikirkan mengenai negara?”.
Zaid berkata, terdapat “terlalu banyak politiking yang berlaku” dan pemulihan ekonomi hanya boleh dicapai apabila kerajaan stabil wujud.
“Sampai bila kita ingin terus seperti ini? Mari teruskan, mari pergi mengundi. Tiada cara lain lagi tetapi memilih kerajaan dengan mandat yang kuat.”
Ahli Parlimen sekarang dipilih pada Mei 2018 dengan penggalnya berakhir tahun depan. Bagaimanapun wujud spekulasi bahawa PRU awal akan diadakan kerana berlaku dua perubahan kerajaan sejak 2020.