
Ketua Pembangakang Anwar Ibrahim dalam kenyataannya, turut mempersoalkan pemimpin lain yang mempamerkan kekayaan melampau, namun tidak pula dilakukan siasatan atau diambil tindakan.
“Saya percaya siasatan ke atas kedua-dua individu ini dikhuatiri mempunyai motif dendam tatkala kes-kes lain melibatkan pemimpin-pemimpin besar tidak dipedulikan.
“Saya ingin menggesa SPRM untuk memberi fokus kepada kes-kes besar yang masih belum ada penyelesaian setakat ini,” katanya.
Hari ini, dua individu termasuk seorang anak saudara Sivarasa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas dakwaan meminta dan menerima rasuah daripada warga asing untuk “menutup kes” penyalahgunaan kelayakan akademik bagi kemasukan pekerja asing oleh sebuah syarikat.
Bagaimanapun anak saudara Sivarasa, Naveen dan bekas pekerjanya, Nico Kam, mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Sivarasa merupakan Ahli Parlimen pertama membangkitkan isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki di Parlimen, dan sejak itu ia membawa kepada pelbagai siasatan selain kecaman orang ramai.
Dalam kenyataan semalam, Sivarasa berkata, Naveen yang bertugas sebagai pengurus Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sungai Buloh dipanggil ke pejabat SPRM, Jumaat lalu dan memberitahu dia akan didakwa atas kesalahan berkaitan kejadian yang berlaku pada 2017.