Sijil palsu boleh jejas kepercayaan masyarakat terhadap program vaksinasi, kata pakar

Sijil palsu boleh jejas kepercayaan masyarakat terhadap program vaksinasi, kata pakar

Apabila kepercayaan terhakis, orang ramai juga mungkin berfikir dua kali sama ada pelonggaran lanjut langkah sekatan Covid-19 adalah tindakan yang bijak, kata pakar.

Polis menyerbu beberapa klinik yang menjual sijil vaksin Covid-19 palsu di Selangor, Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Peningkatan laporan mengenai klinik swasta menjual sijil vaksin Covid-19 palsu akan menimbulkan keraguan orang ramai terhadap kadar vaksinasi yang tinggi di negara ini, kata pakar.

Program vaksinasi menjadi sinar harapan ketika negara dilanda wabak sejak dua tahun lepas dengan kerajaan melonggarkan sekatan apabila kadarnya meningkat selepas dos pertama diberikan pada 24 Feb tahun lepas.

Setakat Sabtu, 97.9% daripada populasi dewasa telah menerima dua dos vaksin.

Bagaimanapun, bulan ini sahaja, polis menyerbu klinik yang menjual sijil vaksin palsu di Selangor, Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu – dengan 5,601 pesakit didaftarkan sebagai penerima vaksin di satu klinik di Selangor didakwa membuang vaksin yang dibekalkan tetapi mengeluarkan sijil vaksinasi digital yang sah.

“Jelas sekali tingkah laku seperti ini menghakis kepercayaan dan keyakinan orang ramai terhadap program vaksinasi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib.

“Bagaimanapun, saya yakin kita telah memberi vaksin kepada kebanyakan penduduk dan kes penipuan ini mewakili minoriti kecil kes di lapangan.”

Dr Mark Cheong, pensyarah di Monash University Malaysia berkata, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah antara usaha yang menyerlah ketika negara melawan wabak.

Pelonggaran sekatan katanya, disokong keyakinan terhadap kadar vaksinasi yang tinggi.

Bagaimanapun tatkala timbul laporan mengenai sijil vaksin palsu, termasuk sebuah klinik di Terengganu yang dikatakan mengeluarkan 1,900 sijil sedemikian, Cheong berkata, orang ramai mungkin berfikir dua kali sama ada pelonggaran lanjut langkah sekatan seperti membenarkan sekolah dibuka semula merupakan tindakan yang bijak.

“Sangat sukar untuk kita agak sejauh mana kita dilindungi kerana ada golongan yang terlepas dengan sijil vaksin palsu,” katanya.

Cheong, yang penyelidikannya tertumpu kepada kesihatan awam dan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan dan ubat-ubatan, juga menyebut mengenai beberapa kebimbangan lain.

“Katakanlah sebilangan orang yang mendakwa telah menerima vaksin kemudian dijangkiti tetapi mereka hanya mendapat gejala ringan. Jika ternyata mereka tidak diberi vaksin, ia akan meningkatkan keraguan sama ada vaksin diperlukan,” katanya.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Koh Kar Chai berkata, walaupun “ada yang mungkin mempersoalkan” kadar vaksinasi yang tinggi, pengurangan ketara dalam kes Covid-19 teruk membuktikan kadar tinggi itu bukan khayalan.

Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) Dr Steven Chow bagaimanapun berkata, terdapat “defisit kepercayaan” terhadap program vaksinasi sejak ia bermula, iaitu sebelum klinik swasta terlibat.

Chow berkata, “defisit kepercayaan” itu mula-mula ditimbulkan oleh banyak kes “suntikan picagari kosong” dan laporan ujian antibodi negatif selepas vaksinasi.

“Keseluruhan program ini dirancang dan dilaksanakan dari atas dan input daripada fraterniti swasta tidak diperolehi,” katanya.

“Jelas bahawa rundingan komprehensif dengan semua pemegang taruh akan membawa perbezaan bagaimana program ini boleh dilancarkan dan mencegah penyalahgunaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.