Hantaran ‘Selamat jalan?’, Ahli Parlimen Kangar mohon maaf pada Najib

Hantaran ‘Selamat jalan?’, Ahli Parlimen Kangar mohon maaf pada Najib

Semalam, bekas Perdana Menteri itu memberi amaran kepada Noor Amin Ahmad agar memadam hantaran mengaitkan namanya berhubung isu kesihatan Dr Mahathir Mohamad.

Semalam Najib Razak memberi amaran akan menyaman Noor Amin Ahmad di ruangan komen laman Facebook wakil rakyat pembangkang itu.
PETALING JAYA:
Selepas didesak membuat permohonan maaf kerana berkongsi hantaran berbaur fitnah terhadap Najib Razak, Ahli Parlimen Kangar Noor Amin Ahmad hari ini tampil berbuat demikian dan menyedari kekhilafannya.

“Saya akui ini kekhilafan saya kerana didorong rasa geram bila komen sedemikian boleh dibuat terhadap orang sakit, walaupun berbeza pandangan politik. Justeru saya meminta maaf atas kekhilafan tersebut,” katanya di Facebook.

Semalam, bekas Perdana Menteri itu memberi amaran kepada Ahli Parlimen PKR itu agar memadam hantaran mengaitkan namanya berhubung isu kesihatan Dr Mahathir Mohamad.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan memberi amaran akan menyaman Amin di ruangan komen laman Facebook (FB) wakil rakyat pembangkang itu selepas Amin membuat hantaran “Selamat jalan?” dengan tangkap layar menunjukkan akaun FB Najib Razak berhubung kesihatan bekas Perdana Menteri ketujuh itu.

“Min (admin), tak nak padam ke? Nak sangat saya saman? soal Najib.

Malah Najib juga melampirkan log aktiviti beliau yang membuktikan status FB dikongsikan Amin daripada sumber asal, iaitu pembantu Mahathir adalah tidak benar.

“Saya ada meninggalkan komen membayangkan status tersebut ditulis oleh ‘cytro’ yang menjaga akaun FB beliau kerana mustahil beliau sendiri akan tulis begitu.

“Setelah dibuktikan status tersebut tidak benar, saya akui kesilapan saya berkongsi cuplikan layar tersebut dan menurunkan cuplikan layar tersebut daripada perhatian umum,” akui Amin.

Terdahulu, Najib mengulangi pendiriannya untuk meneruskan tindakan undang-undang terhadap Amin dan pembantu Mahathir dikenali sebagai Adam Mukhriz sekiranya mereka tidak memadam hantaran berkenaan dan memohon maaf secara terbuka.

“Sukar untuk percaya bahawa pada masa atuk (Mahathir) sakit, dorang masih mampu mainkan fitnah sebegini hanya sebab nak politik?

“Dorang tuduh saya, saya nafi. Lalu dorang suruh saya tunjuk ‘activity’ log FB saya untuk buktikan saya tak post ‘Selamat jalan?’, saya tunjukkan,” katanya.

Bagaimanapun, Adam masih tidak mengeluarkan sebarang permohonan maaf setakat ini. Pemerhatian FMT terhadap laman sosial Adam mendapati ia hanya berkongsi mengenai keadaan terkini Mahathir yang kini masih di bawah pemerhatian rapi Institut Jantung Negara (IJN).

Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi dilaporkan berada di Unit Penjagaan Koronari (CCU) IJN pada 22 Jan.

Beliau sebelum ini dimasukkan ke IJN pada 7 Jan dan dibenarkan keluar pada 13 Jan lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.