‘Apa nak diajar?’, warganet kecam cadangan Exco N9 tubuh akademi roti canai

‘Apa nak diajar?’, warganet kecam cadangan Exco N9 tubuh akademi roti canai

Hasrat itu dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abd Ghani di Facebooknya Sabtu lalu.

Hasrat Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abd Ghani untuk melihat negeri itu menjadi negeri pertama menyediakan akademi menebar roti canai mendapat kecaman warganet. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Warganet mengecam cadangan membuka akademi khusus untuk mengajar kemahiran menebar dan menyediakan roti canai pertama di Negeri Sembilan.

Hasrat itu dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abd Ghani di Facebooknya Sabtu lalu.

Katanya, perkara itu bakal menjadi realiti dalam tempoh dua bulan akan datang dan ia dijangka menjadi negeri pertama mempunyai pusat latihan seumpama itu secara formal.

“Berdasarkan pengamatan saya, karier dalam penyediaan roti canai ini menjanjikan pulangan yang lumayan. Gaji sebagai penebar roti canai juga boleh tahan,” katanya.

Bagaimanapun cadangan Taufek itu mendapat kecaman warganet di media sosial.

Seorang pengguna media sosial, @Folkloreswifty mempersoalkan sama ada negara benar-benar memerlukan akademi menebar roti canai.

“Kerjalah mana-mana kedai mamak untuk dapatkan pengalaman tebar roti canai”, tulisnya.

@AlawiyahYussof dalam komennya pula tanpa berselindung berkata: “Apa benda ini? Apa mata pelajaran yang diajar.”

Sementara itu, @KakTon pula berpendapat negara luar sudah jauh lebih maju ke depan.

“Negara Jepun perkasakan belia dengan teknologi, buat robot, inovasi baru komputer dan enjin, 3D-4D, inovasi makanan dengan “self-heating bento box”.

“Kita. Belajar tebar roti canai sahaja. Jadilah,” katanya.

Seorang lagi warganet, Kelvin pula berkata: “Tebar roti canai gaji RM2,500 hingga RM3,500. Kalau pandai adun tepung sampai jadi roti canai, baik niaga sendiri lagi untung.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.