Tiada pengalaman, tapi saya ikut naluri, kata ‘bidan terjun’ bantu wanita bersalin dalam pikap Hari Thaipusam

Tiada pengalaman, tapi saya ikut naluri, kata ‘bidan terjun’ bantu wanita bersalin dalam pikap Hari Thaipusam

Naroshinii Annaselam dan ibunya, Marie Puspan memberi tindak balas spontan apabila melihat seorang wanita hampir melahirkan bayinya dalam kenderaan berdekatan kuil di Batu Caves.

Marie Puspan dan anaknya, Naroshinii Annaselam (kiri) membantu Lidawati Zakaria (kanan) bersalin di dalam kenderaan pikap berdekatan kuil di Batu Caves.
PETALING JAYA:
Perayaan Thaipusam memberi makna baharu bagi Naroshinii Annaselam dan ibunya, Marie Puspan, setelah mereka membantu seorang wanita melahirkan bayi di dalam sebuah kenderaan pikap berhampiran Batu Caves.

Suami wanita itu gelisah di tempat duduk pemandu, tatkala si ibu dalam keadaan separa sedar, keletihan di separuh jalan proses kelahiran, dengan bayinya hampir keluar.

Naroshinii dan Marie bertindak balas mengikut naluri, dengan Naroshinii menanggalkan baju kurtinya untuk membantu kelahiran bayi tersebut.

Marie terkejut dengan tindakan anak perempuannya tetapi menumpukan semula perhatian untuk membantu wanita itu, Lidawati Zakaria, melahirkan bayinya.

“Saya guna baju itu untuk tarik keluar bayi berkenaan, dan bila dapat (tarik keluar), bayi itu mula menangis,” katanya.

Naroshinii, apabila ditanya bagaimana perasaannya menanggalkan baju di hadapan semua orang, beliau hanya berkata, keutamaannya adalah bayi itu, bukan kesopanannya.

Naroshinii menunjukkan gambar yang diambil pada hari bayi itu dilahirkan.

“Secara azalinya, saya akan melakukan apa sahaja untuk membantu,” katanya

Kedua-dua wanita itu menceritakan kepada FMT apa yang berlaku Selasa lepas ketika mereka berjalan kaki ke Kuil Sri Subramaniar di Batu Caves, Kuala Lumpur.

Naroshinii menyedari ada sesuatu yang tidak kena apabila terlihat sebuah kenderaan pikap berhenti di tengah-tengah simpang.

“Saya tertanya-tanya kenapa kenderaan itu berhenti secara tiba-tiba dan ketika kami melepasinya, saya melihat pemandu itu dalam kegelisahan.

“Saya menghampiri mereka dan bertanya sama ada semuanya baik-baik, namun lelaki itu berkata: Tolong! Isteri saya hendak bersalin,” katanya.

Naroshinii memberitahu lelaki itu, Mohammad Ismaidi Ismail, beliau akan memanggil ambulans, tetapi Ismaidi memberitahunya bayi itu sudah hampir keluar.

Naroshinii kemudian menjenguk dalam kenderaan dan ternampak seorang wanita dalam keadaan separuh sedar di tempat duduk penumpang dengan separuh badan bayi sudah terkeluar.

Naroshinii dan Marie menceritakan peristiwa kelahiran bayi pada Hari Thaipusam.

“Perasaan saya tidak menentu, tetapi setelah berjaya bertenang, saya meminta bantuan ibu kerana saya rasa situasi ini perlu dikendalikan oleh seorang ibu,” katanya.

Marie berkata, beliau dapat lihat wanita itu keletihan, jelas tidak lagi mampu meneran.

“Tangan saya kosong, lalu saya memberitahu anak saya untuk mendapatkan kain bagi menarik bayi itu keluar.

“Selepas mencari-cari, anak saya buat keputusan untuk tanggalkan baju kurtinya,” katanya.

Marie kemudian segera membalut bayi yang baru lahir itu dengan baju anaknya dan selendang yang diberikan orang ramai agar bayi itu tidak kesejukan.

“Saya tiada pengalaman membantu kelahiran bayi, tetapi sebagai ibu kepada lima anak, saya tahu betapa sukar dan peritnya proses itu.

“Saya bertindak di luar naluri dan dapat membantu wanita itu melahirkan seorang bayi perempuan.

“Saya sangat gembira kerana kedua-dua ibu dan bayi sihat dan selamat,” katanya.

Naroshinii dan Marie berasa bersyukur kerana dapat terlibat dalam pengalaman luar biasa ini.

“Kami harap dapat ziarah bayi itu dan ibu bapanya satu hari nanti,” kata Naroshinii.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.