Wanita maut dihempap lori simen terbalik akibat masalah brek

Wanita maut dihempap lori simen terbalik akibat masalah brek

Ketika kejadian pemandu kereta berusia 47 tahun itu berhenti di lampu isyarat.

Mangsa tersepit dalam kereta dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya dihempap sebuah lori muatan simen yang terbabas ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat di Jalan Sri Cemerlang, Kota Bharu, Kelantan, hari ini.

Dalam kejadian 4.10 petang itu mangsa, Roslina Anat Lat, 47, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di dada dan kaki.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Mohd Suhaimi Ali, berkata sebelum nahas, lori muatan simen dipandu seorang lelaki itu datang dari arah Jalan Sri Cemerlang menuju ke persimpangan tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata, sebaik mendapati brek lorinya tidak berfungsi, pemandunya bertindak menukar laluan dengan membelok ke kiri jalan bagi mengelak merempuh kereta lain di hadapan.

“Ketika membelok, lori itu terbalik lalu menghempap kereta Perodua Kelisa dipandu mangsa yang sedang berhenti di lampu isyarat. Mangsa tersepit dalam kereta dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Sebuah kereta Honda Civic di belakang kereta mangsa turut dihempap lori itu, namun pemandunya seorang lelaki berusia 58 tahun tidak cedera,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Suhaimi berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya tidak menolak punca nahas adalah disebabkan kecuaian pemandu lori yang gagal memastikan brek kenderaan dipandunya berfungsi dengan baik.

“Ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori itu bagaimanapun mendapati dia negatif dadah,” katanya sambil menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.