Perdana Menteri lawat Dr M di IJN

Perdana Menteri lawat Dr M di IJN

Ismail Sabri Yaakob tiba pada 5.35 petang dan sempat melambai kepada media di perkarangan pusat rawatan itu.

Ismail Sabri Yaakob turut bertemu Dr Siti Hasmah Mohamad Ali di IJN dan berharap keluarga bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad terus tabah. (Gambar Twitter)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tiba di Institut Jantung Negara (IJN) untuk melawat Dr Mahathir Mohamad yang kini dirawat di Unit Penjagaan Koronari (CCU).

Beliau tiba di IJN pada 5.35 petang dan sempat melambai kepada media di perkarangan pusat rawatan itu.

Sebelum itu, kelihatan kenderaan Istana Negara berada di perkarangan IJN.

Ismail menerusi Twitter sebaik selesai melawat Mahathir berkata, beliau mendoakan keluarga bekas Perdana Menteri itu kekal tabah.

“Tiba di Institut Jantung Negara sebentar tadi untuk menziarahi bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad @chedetofficial yang dimasukkan ke IJN.

“Saya turut bertemu dengan Dr Siti Hasmah Mohamad Ali (isteri Mahathir) di IJN tadi dan berharap keluarga Tun Dr Mahathir Mohamad terus tabah,” katanya.

Terdahulu, timbul dakwaan Mahathir berada di CCU dalam keadaan membimbangkan.

Jurucakap IJN mengesahkan Ahli Parlimen Langkawi itu kini sedang menerima rawatan di CCU.

Namun, keadaannya dan sebab dimasukkan ke IJN masih belum diketahui.

Mahathir sebelum ini dimasukkan ke IJN pada 7 Jan dan dibenarkan keluar pada 13 Jan lalu.

Beliau pernah menjalani dua pembedahan pintasan jantung pada 1989 dan 2007.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.