Batal saja MoU jika undang-undang antilompat parti tak terlaksana, kata pemimpin DAP

Batal saja MoU jika undang-undang antilompat parti tak terlaksana, kata pemimpin DAP

Tiada lagi sebab untuk menghormati MoU antara pembangkang dan kerajaan jika ini tidak ditepati, kata Ronnie Liu.

Undang-undang antilompat parti adalah antara bahagian terpenting dalam MoU antara pembangkang dan kerajaan, menurut Ronnie Liu.
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) tiada sebab untuk mengekalkan persefahaman politiknya dengan pentadbiran Ismail Sabri Yaakob jika undang-undang antilompat parti tidak diperbuat pada Mac, kata seorang ahli jawatankuasa pusat DAP.

Ronnie Liu berkata, undang-undang itu adalah antara bahagian terpenting dalam memorandum persefahaman (MoU) antara pembangkang dan kerajaan dan kekal sebagai satu-satunya sebab untuk terus menghormatinya.

“Jika mereka (kerajaan) tidak melakukannya, tiada lagi sebab untuk meneruskan MoU itu,” kata ADUN Sungai Pelek itu.

Beliau berkata, gabungan pembangkang terkesan oleh MoU itu, dengan rakyat menganggap PH tidak memainkan peranan semak dan imbang, dan persepsi sedemikian menyebabkan gabungan itu kalah dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Sarawak baru-baru ini.

Justeru, katanya, pemimpin PH mesti meyakinkan rakyat bahawa mereka akan membatalkan MoU jika undang-undang antilompat parti tidak tercapai menjelang Mac.

Liu berkata, beliau bimbang sehingga 30% pengundi tidak akan keluar mengundi jika undang-undang itu tidak diperbuat kerana pengundi akan hilang kepercayaan terhadap sistem.

PH menandatangani MoU dengan pentadbiran Ismail pada Ogos bagi memulihkan kestabilan politik agar kerajaan dapat menguruskan kesan wabak Covid-19 dan mengukuhkan ekonomi.

Pengkritik menuduh prinsip pakatan pembangkang telah terjejas.

Awal minggu ini, Fahmi Fadzil daripada PKR berkata, 13 daripada 18 perkara dalam MoU itu telah dilaksanakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.