Perjanjian integriti jangan sekadar tandatangan kertas, kata pakar kriminologi

Perjanjian integriti jangan sekadar tandatangan kertas, kata pakar kriminologi

Pakar kriminologi berkata satu cara untuk membanteras rasuah ialah mengambil calon dengan personaliti yang sesuai ke dalam perkhidmatan awam.

(Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Negara memerlukan lebih daripada sekadar ikrar integriti dan dasar yang dibuat setiap beberapa tahun, kata pakar kriminologi dari Universiti Sains Malaysia (USM) P Sundramoorthy.

Beliau berkata, bukan perkara baharu untuk penjawat awam kerana mereka dikawal oleh arahan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Sundramoorthy berkata, selama ini penjawat awam tertakluk kepada banyak ikrar yang mengingatkan mereka supaya mematuhi semua peraturan dan tahap etika serta integriti yang tinggi.

“Jadi jika kerajaan mahu melaksanakan ikrar baharu untuk mereka dan vendor terlibat, mesti ada kesan yang dilihat selepas itu.

“Ia bukan sekadar menandatangani sekeping kertas, kita telah menandatangani banyak pernyataan seperti itu sebelum ini,” katanya kepada FMT.

Kerajaan memutuskan untuk memperkenalkan perjanjian integriti kepada semua penjawat awam yang secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam perolehan atau tawaran projek dan kontrak, iaitu satu langkah yang memerlukan mereka membuat pengisytiharan antirasuah.

Menurut Surat Pekeliling Perbendaharaan yang dikeluarkan bagi memperkenalkan perjanjian itu, ia bertujuan membasmi rasuah dan menghapuskan salah guna kuasa.

Sundramoorthy berkata: “Hanya dengan menandatangani sekeping kertas dan berkata ‘ya’ saya akan patuh semua ini’ tidak akan membawa sebarang perbezaan. Jika itu tujuan perjanjian ini, adakah ia berbaloi dilaksanakan?”

Katanya, satu cara untuk membasmi rasuah ialah dengan mengambil individu yang mempunyai personaliti sesuai ke dalam perkhidmatan awam dan menjalankan ujian psikometrik sebelum mereka diambil bekerja.

“Ujian psikometrik boleh dilakukan bagi memastikan seseorang itu mempunyai tahap etika dan integriti yang tinggi. Ia tidak mudah tetapi sekurang-kurangnya anda boleh menolak calon yang tidak diingini dan lebih terdedah kepada rasuah dan perbuatan jenayah lain.

“Perkara lain ialah hukuman. Kita perlu menghukum mereka yang mengamalkan rasuah dengan seberat-beratnya,” katanya selain menambah bahawa terdapat gesaan oleh segmen masyarakat lain untuk memasukkan hukuman sebat berkaitan kes rasuah, walaupun terdapat bantahan daripada kumpulan hak asasi manusia.

Sundramoorthy juga berkata, integriti dan etika adalah nilai yang hampir tidak wujud dalam budaya rakyat di negara ini.

“Ramai orang muda beranggapan bahawa penglibatan dalam kegiatan rasuah boleh diterima selagi kedua-duanya sanggup melakukannya. Sebagai contoh, anda boleh terlepas daripada tindakan melanggar peraturan jalan raya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.