Perdaya 150 pembeli PS5, graduan farmasi mengaku tidak bersalah

Perdaya 150 pembeli PS5, graduan farmasi mengaku tidak bersalah

Tertuduh berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 420 dan 417 Kanun Keseksaan.

Tan Pei Er, 24 diikat jamin RM16,500 bagi kesemua pertuduhan manakala sebutan kes ditetapkan 3 dan 4 Mac depan. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Seorang penuntut jurusan farmasi sebuah universiti swasta didakwa di dua Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tujuh pertuduhan menipu dan memperdaya berhubung pembelian permainan video Playstation 5 (PS5), tahun lalu.

Bryan Tan Pei Er, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali dan Wong Chai Sia.

Bagi pertuduhan pertama hingga keempat, Tan didakwa menipu tiga lelaki dan seorang wanita dengan memperdaya mereka bahawa dia akan memberikan PS5 Disc Version sedangkan alat permainan itu tiada sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM10,230.

Dia juga didakwa menipu seorang wanita dengan memperdaya mangsa untuk menyerahkan wang sebanyak RM68,800 yang dipindah ke akaun bank tertuduh dan ibunya bagi pembelian patung Bearbrick yang tidak wujud.

Sementara itu, di hadapan Wong, Tan mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memperdaya dan menipu dua lelaki berhubung pembelian PS5 sehingga mendorong kedua-dua mangsa masing-masing menyerahkan wang RM19,550 dan RM3,408 kepadanya.

Tan didakwa melakukan perbuatan itu di beberapa lokasi di Setapak, Brickfields, Dang Wangi, Cheras dan Sentul antara 29 Ogos hingga 7 Nov 2021.

Bagi pertuduhan menipu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh dikenakan denda manakala bagi pertuduhan memperdaya, dia didakwa mengikut Seksyen 417 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin berjumlah RM16,500 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 3 serta 4 Mac depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ngoh Jess Lyn dan G Phulrani Kaur manakala Tan tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki ditahan kerana memperdaya hampir 150 pembeli pratempahan konsol permainan video PS5 sehingga mengalami kerugian kira-kira RM500,000 dan dia turut menggunakan akaun ibunya untuk melakukan urus niaga itu yang dijalankan secara dalam talian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.