
Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Pekerja Sokongan Hospital dan Perkhidmatan Bersekutu Roziah Mohammed Hashim berkata, konvoi berkenaan akan bermula pada 5 hingga 8 Feb, disertai kebanyakannya penunggang wanita, bergerak dari Pulau Pinang ke Putrajaya.
Dalam sidang medianya beliau berkata, pekerja pembersihan hospital kecewa berhubung sistem kontrak, selain mendakwa ditekan dengan melanggar hak mereka.
“Tuntutan kita termasuk menghapuskan sistem kontrak dan menyerap kakitangan sokongan hospital sebagai kakitangan kerajaan.
“Kami juga menuntut diberikan elaun Covid-19 kepada semua kakitangan sokongan hospital dan berhenti menekan kesatuan,” katanya.
Dalam ekspedisi bermotosikal itu beliau berkata, ahli akan mengunjungi hospital di negeri berlainan, selain mengumpul surat aduan daripada pekerja sokongan hospital.
Roziah berkata, ahli bertindak menunggang motosikal sebagai refleksi kepada kadar gaji rendah, sambil menambah kesukaran mereka mendapatkan pembiayaan untuk membeli kereta.
Dalam pada itu, Setiausaha Eksekutif kesatuan berkenaan, Sarasvathy Muthu berkata, sebanyak lima memorandum sudah dihantar kepada kerajaan sejak 2015, namun tiada tindakan susulan diambil.
“Pekerja pembersihan hospital menjadi tulang belakang dalam industri kesihatan. Apa akan jadi kepada hospital sekiranya mereka tidak ada?” soalnya.
“Sistem kontrak bersifat pelanggaran terbuka. Hanya kerajaan sahaja mampu membantu situasi menerusi perubahan dasar,” katanya.
Beliau mendakwa, pekerja pembersihan hospital seperti diketepikan walaupun mereka juga berperanan sebagai barisan depan menangani wabak Covid-19.