
Dalam satu kenyataan hari ini, jawatankuasa tersebut menegaskan pihaknya mahu meneruskan himpunan itu sebagai tanda prihatin rakyat Malaysia mempertahankan integriti dan menyebar kebencian terhadap rasuah dan perasuah.
Katanya, himpunan #TangkapAzamBaki disokong 33 NGO dan 11 buah organisasi politik akan dijalankan secara aman dengan menepati SOP bagi meminimumkan penyebaran wabak Covid-19 serta keselamatan rakyat Malaysia keseluruhannya.
“Jawatankuasa menyelar pihak berkuasa terutama polis yang menutup enam jalan bagi menghalang kempen #TangkapAzamBaki yang diadakan di tiga lokasi iaitu Sogo, Dataran Merdeka dan Masjid Jamek, esok,” katanya.
Pada masa sama, jawatankuasa itu ‘memuji’ polis kerana sanggup mengerahkan 1,010 pegawai dan anggota bagi tujuan Operasi Menyelamat Azam Baki yang menyebabkan sebahagian besar bandar raya Kuala Lumpur ‘lockdown’.
“Hanya kerana seorang individu, Ketua Polis Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya arahkan penutupan enam jalan menghala ke Kuala Lumpur serta 24 stesen tren LRT, Monorel, KTM bermula jam 7 pagi esok.
“Tindakan keterlaluan ini menimbulkan gambaran seolah-olah ada rahsia yang melibatkan watak berprofil tinggi mahu ditutup, terutamanya berkaitan isu rasuah dan salah guna kuasa.
“Kita tidak pernah lupa, bekas Perdana Menteri Najib Razak sendiri pernah ditangkap polis disebabkan beliau terpalit dengan rasuah,” katanya.
Katanya, Azam Baki hanya Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tapi seolah-olah lebih kebal dan berkuasa berbanding orang yang pernah memegang jawatan tertinggi negara ini.