Speaker tolak usul bahas isu Azam dan pemilikan saham

Speaker tolak usul bahas isu Azam dan pemilikan saham

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mempunyai kuasa untuk menentukan agenda dalam mesyuarat khas berkenaan.

Azhar Azizan Harun berkata, sehingga hari ini beliau tidak menerima sebarang notis daripada Perdana Menteri mengenai usul berhubung pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dan menganggap usul itu tidak dimasukkan ke dalam aturan mesyuarat hari ini.  (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Usul mengenai pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki tidak akan dibahas dalam mesyuarat khas hari ini, kata Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.

Beliau berkata, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mempunyai kuasa untuk menentukan agenda dalam mesyuarat khas berkenaan seperti yang termaktub dalam aturan mesyuarat.

“Mesyuarat pada hari ini ditetapkan oleh Perdana Menteri dan beliau menyusun atur agenda tersebut. Jadi, sebab itu saya tidak ada kuasa untuk menetapkan atau menerima usul tersebut,” katanya merujuk kepada usul tergempar oleh Ahli Parlimen Pulai Salahuddin Ayub yang mahu sidang khas pada hari ini membahaskan isu pemilikan saham Azam yang disifatkannya sebagai “sangat mencurigakan”.

“Sehingga hari ini saya tidak terima sebarang notis daripada Perdana Menteri mengenai usul tersebut maka saya anggap usul itu tidak akan dimasukkan ke dalam aturan mesyuarat hari ini,” tambah Azhar.

Beliau menjelaskan perkara demikian bagi menjawab Salahuddin (PH-Pulai) dan Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) yang meminta usul mereka itu dibahaskan di Dewan Rakyat.

Ketika Salahuddin meminta Ismail menjawab gesaan mereka supaya perkara itu dibahaskan, Perdana Menteri enggan mengulas.

Gobind Singh Deo (PH-Puchong) kemudian bangkit dan bertanya sama ada Perdana Menteri dan menteri lain yang dijadualkan untuk menjelaskan tindakan kerajaan di tengah-tengah krisis banjir baru-baru ini akan kekal di dalam Dewan untuk menjawab soalan daripada Ahli Parlimen.

“Kita perlu beri perhatian serius terhadap isu banjir ini dan isu berbangkit lain. Adakah Perdana Menteri akan berada di sini atau arahkan menteri lain untuk jawab bagi pihaknya selepas Perdana Menteri berbahas?” soalnya sambil menambah bahawa isu banjir adalah perkara pokok dalam mesyuarat khas pada hari ini, namun persoalan mengenai pemilikan saham Azam juga penting.

Azhar kemudian berkata, “Menteri akan menjawab soalan berkaitan isu teras, iaitu krisis banjir. Jika soalan itu berkaitan, saya pasti mereka akan jawab.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.