Tipu projek gali pasir, 4 beranak didakwa

Tipu projek gali pasir, 4 beranak didakwa

Bapa berusia 63 tahun dan tiga anaknya didakwa atas dua pertuduhan berkaitan projek menggali pasir, yang mendorong sebuah syarikat menyerahkan wang berjumlah RM1 juta.

Mahkamah Sesyen menetapkan 21 Feb untuk sebutan semula kes terhadap empat beranak terbabit (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang bapa bersama tiga anaknya dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menipu dan bersubahat menipu sebuah syarikat berhubung projek menggali pasir tidak wujud membabitkan kerugian RM1 juta.

Wong Tiing Kiong, 63, didakwa atas dua pertuduhan, menipu dan memperdayakan Chong Teamwork Marketing Sdn Bhd dengan menawarkan projek menggali pasir sehingga mendorong syarikat itu menyerahkan wang berjumlah RM1 juta melalui dua keping cek berjumlah RM500,000 setiap satu.

Anaknya Amy Wong E Tim, 32, Wong Sing Kung, 42, dan Felix Wong Sing Jie, 26, menghadapi pertuduhan bersubahat dengan Wong berhubung pertuduhan menipu, menurut laporan Bernama.

Semua suspek mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Melaka Raya pada 10.10 pagi, 19 April 2019.

Tuduhan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari mencadangkan jaminan sebanyak RM400,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Wong memandangkan kerugian dialami mangsa adalah RM1 juta.

Peguam Paul Krishnaraja bagaimanapun memohon jaminan dikurangkan kepada RM5,000 atas alasan anak guamnya menetap di Sarawak dan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa semasa siasatan.

Hakim Nariman Badrudin membenarkan Wong diikat jamin RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Sementara itu, di hadapan hakim Maziah Joary Tajudin, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim mencadangkan jaminan RM100,000 bagi setiap pertuduhan terhadap tiga anak Wong, namun Paul memohon jaminan minimum kerana ketiga-tiga tertuduh memberi kerjasama.

Maziah Joary membenarkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 21 Feb untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.