
Ketua Polis Terengganu, Rohaimi Md Isa berkata, rampasan di tepi pantai Kampung Rhu Kubur, Jambu Bongkok di Marang kira-kira 8 malam itu susulan laporan awam yang menemui satu guni dipercayai ditinggalkan tiga individu mencurigakan di kawasan itu.
“Orang awam terlihat suspek sedang mengangkat sesuatu objek dengan tergesa-gesa, namun bila suspek ternampak orang awam, mereka melarikan diri dengan sebuah kenderaan dan meninggalkan satu guni di situ.
“Orang awam itu kemudiannya memeriksa guni yang diikat dengan pelampung dan mengesyaki terdapat bahan terlarang di dalam guni tersebut, lalu segera menghubungi pihak polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan polis kemudiannya menemui 17 paket berisi bahan kristal disyaki dadah jenis syabu dibungkus dalam plastik teh Cina dalam guni berkenaan.
“Penyeludupan melalui jalan laut pesisir pantai ini bukanlah kelaziman di Terengganu, ini yang pertama kami kesan, jadi polis percaya ekoran operasi besar-besaran, termasuk Op Benteng, ia telah mendorong suspek mengubah MO mereka.
“Polis percaya guni berkenaan terapung selama beberapa hari (sebelum diangkut ke darat). Kami juga syak suspek menggunakan pesisir pantai ini sebagai transit sebelum mengedarkan dadah itu ke pasaran tempatan, termasuk di luar Terengganu,” katanya yang turut mengesyaki dadah itu diseludup dari luar negara.
Rohaimi berkata, syabu itu dianggarkan boleh menampung kegunaan lebih kurang 94,000 penagih.
“Setakat ini belum ada tangkapan, semua Ketua Polis Daerah yang mempunyai pesisir pantai sudah diminta melakukan risikan lanjut dan bekerjasama rapat dengan masyarakat setempat dan meminta mereka melaporkan segera kepada polis jika terdapat sebarang kegiatan mencurigakan.”
Beliau berkata, lokasi kejadian yang gelap dan jauh dari kediaman penduduk adalah antara faktor yang dipercayai mendorong suspek melakukan kegiatan jenayah di kawasan terbabit.
“Mungkin selepas ini kami boleh bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan supaya memasang lampu di kawasan atau ‘spot’ yang kami syaki berpotensi berlaku kegiatan jenayah.”