
Menterinya, Khairy Jamaluddin, berkata kerajaan menyasarkan 80% kanak-kanak menerima dos lengkap bagi tempoh enam bulan pelaksanaan.
“KKM akan melaksanakan pemberian vaksin Covid-19 untuk kanak- kanak berusia 5 hingga bawah 12 tahun, bermula Februari 2022 sebaik vaksin Pfizer (kanak-kanak) tiba di Malaysia mulai 31 Januari 2022.
“Tempahan janji temu vaksinasi bagi kanak-kanak berusia 5 hingga bawah 12 tahun akan dibuka secara berperingkat bermula 31 Jan ini dan dibuka kepada ibu bapa yang tinggal di Lembah Klang dahulu,” katanya dalam sidang media.
Beliau berkata, sistem tempahan janji temu melalui MySejahtera akan mula dibuka pada penghujung Januari 2022 dan sebagai permulaan, ibu bapa boleh mula mendaftarkan anak sebagai tanggungan dalam aplikasi MySejahtera mereka.
Sehubungan itu, beliau juga memohon supaya majikan memberikan cuti tanpa rekod kepada ibu bapa yang membawa anak untuk vaksinasi, selain bagi membuat pemerhatian kesihatan anak selepas vaksinasi.
Difahamkan, pelancaran program pemberian vaksinasi kanak-kanak berusia 5 hingga bawah 12 tahun akan diadakan pada 3 Feb ini di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur.
“Perincian mengenai akses kepada sistem tempahan janji temu akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya.
Tambahnya, Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (CITF-C), dipengerusikan Timbalan Menteri Kesihatan 1 Dr Noor Azmi Ghazali, telah mengadakan mesyuarat pertamanya, pada 19 Januari lalu.
“CITF–C berperanan membentuk dasar, menyelaras strategi pengoperasian, mengenal pasti perkara yang boleh serta pemantauan pencapaian Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids).”