Ketiadaan dasar mata wang kripto kurangkan peluang, kerajaan diberitahu

Ketiadaan dasar mata wang kripto kurangkan peluang, kerajaan diberitahu

Sifat tidak berpusat teknologi mata wang kripto menjadikannya menarik bagi pelabur, menurut Ketua Penerangan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Wan Agyl Hassan.

Disember lepas, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Eddin Syazlee Shith berkata, kerajaan tidak bercadang untuk mengawal selia mata wang kripto kerana sifatnya yang tidak berpusat. (Gambar Rawpixel)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno mengingatkan kerajaan bahawa keengganan untuk mengawal selia mata wang kripto merisikokan Malaysia untuk tewas kepada negara jiran dalam perlumbaan menarik pelaburan asing.

Ketua Penerangan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Wan Agyl Hassan, yang mendesak dasar mengenai mata wang kripto dan rantaian blok berkata, ketiadaan peraturan “teguh dan dinamik” bermakna lebih sedikit peluang bagi rakyat Malaysia.

Disember lepas, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Eddin Syazlee Shith berkata, kerajaan tidak bercadang untuk mengawal selia mata wang kripto kerana sifatnya yang tidak berpusat.

Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengklasifikasikan mata wang kripto sebagai satu bentuk sekuriti dan meluluskan hanya empat platform bagi pembelian dan penjualannya, iaitu Luno, MX Global, Sinegy dan Tokenize.

SC tidak mengiktiraf mata wang kripto sebagai tender yang sah atau sebagai kaedah bayaran yang diterima oleh Bank Negara.

Bagaimanapun kata Wan Agyl, sifat tidak berpusat teknologi mata wang kripto menjadikannya menarik bagi pelabur.

“Hakikat bahawa tiada satu pihak boleh menentukan bagaimana mata wang kripto ditadbir bermakna ia lebih menarik untuk dipercayai pelabur hari ini,” katanya kepada FMT.

Mata wang kripto semakin menjadi satu bentuk pelaburan alternatif bagi saham dengan laporan mendapati bahawa USD30 bilion telah dilaburkan dalam mata wang kripto secara global tahun lepas.

Wan Agyl memetik Thailand sebagai contoh negara yang mengiktiraf kemunculan mata wang kripto. Beliau merujuk kepada pengumuman negara itu baru-baru ini bahawa ia sedang membangunkan mata wang kriptonya sendiri untuk digunakan pelancong dalam perbelanjaan perjalanan.

Beliau berkata, ramai rakyat Malaysia memegang banyak wang dalam bentuk mata wang kripto tetapi tidak dapat mengeluarkannya disebabkan had semasa.

“Terdapat tempoh menunggu yang lama untuk mengeluarkan wang yang disimpan sebagai mata wang kripto, selain had pengeluaran. Sebagai contoh, had transaksi Bitcoin adalah RM5,000 sehari,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan harus mengawal selia mata wang kripto supaya orang ramai boleh menggunakannya untuk membeli aset dan membayar perkhidmatan.

Merujuk kepada kebimbangan bahawa mata wang kripto akan digunakan untuk pengubahan wang haram, Wan Agyl berkata, ia lebih telus dan kurang terdedah kepada manipulasi berbanding wang kertas fizikal.

“Pada asasnya, mata wang kripto adalah berdasarkan teknologi rantaian blok, bermakna setiap urus niaga direkodkan dalam lejar awam yang boleh diakses oleh sesiapa sahaja dan tidak boleh diubah,” katanya.

Tambahnya, ini bermakna lebih berisiko untuk mengubah wang secara haram menggunakan mata wang kripto, berbanding wang kertas.

“Bagaimanapun masih wujud keperluan untuk peraturan, pemantauan dan pengawasan transaksi kripto kerana dunia sedang bergerak ke arah ini,” katanya.

Beliau menggesa kerajaan agar terlibat urus dengan penggiat industri dan inovator berhubung cara terbaik menggunakan teknologi itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.