Jangkitan Covid-19 di Pulapol Negeri Sembilan naik kepada 150 kes

Jangkitan Covid-19 di Pulapol Negeri Sembilan naik kepada 150 kes

Ia selepas 22 kes baharu direkodkan pada Rabu.

Kluster Air Hitam diisytiharkan Khamis lalu dengan operasi latihan di Pulapol itu dihentikan, selain asrama ditutup dan dijadikan pusat isolasi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Jumlah kes Covid-19 melibatkan pelatih Pusat Latihan Polis (Pulapol) Air Hitam di Jempol, Negeri Sembilan meningkat kepada 22 kes.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kepenggunaan dan Alam Sekitar Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, ini menjadikan keseluruhan kes dalam kluster Air Hitam mencecah 150 orang.

“Sehingga 12 tengah hari Rabu, 640 individu sudah menjalani ujian saringan dan 150 daripada mereka didapati positif Covid-19, manakala 490 lagi negatif.

“Semua individu terbabit sudah mendapat keputusan ujian saringan dan tiada lagi individu sedang menunggu keputusan,” katanya dipetik Harian Metro.

Kluster Air Hitam diisytiharkan Khamis lalu dan operasi latihan di Pulapol itu dihentikan bermula 10 Jan lalu, selain asrama ditutup dan menjadi pusat isolasi.

Media sebelum ini melaporkan 128 kes positif Covid-19 dikesan di Pulapol Air Hitam.

Veerapan dilaporkan berkata, kes indeks kluster Air Hitam bermula dengan saringan bergejala ke atas lima pelatih yang disahkan positif Covid-19.

Mengenai bilangan kes di Negeri Sembilan, beliau berkata, sehingga 12 tengah hari Selasa, keseluruhan kes Covid-19 meningkat kepada 115,971 kes, manakala kematian pula mencecah 1,329 kes.

“Terdapat 171 kes baharu dilaporkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS). Sebanyak 138 kes dalam negara dan bakinya luar negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.