52 kluster pendidikan, 30 babit sekolah menengah, kata Khairy

52 kluster pendidikan, 30 babit sekolah menengah, kata Khairy

Menteri Kesihatan berkata, hanya Perlis, Terenggau, Sarawak dan Labuan tidak melaporkan kluster pendidikan.

Khairy Jamaluddin berkata, kes indeks 44 kluster pendidikan membabitkan pelajar, guru atau pensyarah (lima) dan staf sokongan pusat pendidikan (tiga).
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan mengesan 52 kluster pendidikan Covid-19, dengan 30 daripadanya membabitkan sekolah menengah, sejak awal tahun ini, hingga semalam.

Daripada 30 sekolah menengah, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, 27 adalah sekolah berasrama.

“Sesi persekolahan telah bermula 9 dan 10 Jan lalu mengikut negeri tertentu.

“Perkumpulan ramai ini telah meningkatkan risiko penularan jangkitan menyebabkan jumlah kluster di sekolah pada minggu pertama persekolahan sebanyak 15 kluster.

“Pada minggu kedua persekolahan, bilangan kluster pendidikan meningkat sekali ganda kepada 33 kluster,” katanya pada sidang media hari ini.

Khairy berkata, hanya Perlis, Terenggau, Sarawak dan Labuan tidak melaporkan kluster pendidikan.

Daripada 52 kluster pendidikan itu, katanya, 44 kluster dengan kes indeksnya membabitkan pelajar, guru atau pensyarah (lima) dan staf sokongan pusat pendidikan (tiga).

Beliau berkata, peningkatan kluster pendidikan disebabkan ketidakpatuhan SOP semasa dan di luar waktu persekolahan formal, terutamanya di asrama.

Faktor lain peningkatan kluster pendidikan termasuk:

  • Amalan pemakaian pelitup muka di asrama tidak mencapai tahap optimum
  • Pergerakan bebas pelajar dalam asrama
  • Pergaulan rapat pelajar dalam asrama
  • Tiada penjarakan fizikal semasa aktiviti kerohanian di masjid
  • Individu bergejala lewat dikesan dan pelajar tidak memaklumkan kepada penyelia sewaktu mula bergejala
  • Guru bergejala hadir ke kelas menyebabkan pelajar lain dijangkiti virus itu.
  • Pelajar yang dikuarantin di sekolah tidak mematuhi arahan kuarantin
  • Ruangan tumpuan pelajar tidak disinfeksi secara berkala.
  • Sistem pengudaraan tidak mencukupi
  • Tiada ekzos kipas di bilik berhawa dingin
  • Tingkap di asrama tidak dibuka
  • Sidai tuala

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.