
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka Zulkiflee Rashid berkata, lelaki berusia 24 tahun dan kekasihnya, 31 tahun itu ditahan bersama seorang lagi lelaki berusia 22 tahun kira-kira 12.30 tengah malam.
“Lelaki berusia 22 tahun itu adalah adik kepada suspek berusia 24 tahun dan kedua-dua mereka adalah penganggur manakala wanita tersebut bekerja di kedai makan.
“Ujian saringan urin yang dilakukan ke atas suspek mendapati dua lelaki berkenaan positif dadah jenis morfin manakala wanita berkenaan positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
Beliau berkata, semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.
Sementara itu Zulkiflee berkata, sebanyak 274 orang ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah ADB 1952 dan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM22,821.50 dirampas dalam tempoh 17 hari sejak 1 Jan lalu.
“Polis Melaka ingin menasihatkan orang ramai terutama golongan muda supaya berhati-hati memilih pasangan atau berkawan kerana pengaruh dadah boleh menyebabkan mereka terjebak dalam aktiviti pengedaran dan penagihan dadah,” katanya.
Katanya, polis akan terus mempertingkatkan pemeriksaan serta penguatkuasaan di bawah ADB 1952 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran serta penyalahgunaan dadah diminta menyalurkannya kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan lanjut dilakukan segera.