
N Mageswaran, 31, dan M Anbu, 30, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan majistret Siti Hanum Mohmad Sah yang kemudiannya menetapkan 21 Mac untuk sebutan kes bagi mendapatkan laporan kimia dan forensik.
Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mereka didakwa membunuh D Gunasealan, 29, di kolam ikan Kampung Poh, Bidor antara 2 pagi hingga 7.30 pada 13 Sept 2021 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Hidayu Zakaria, manakala peguam J Gunamalar mewakili Anbu dan Mageswaran tidak diwakili peguam.
Sebelum ini, Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata, mangsa dipercayai diculik dan dibunuh rakan sekerjanya disebabkan masalah berkaitan hutang.