
Ramkarpal dalam kenyataannya, selepas dibebaskan atas jaminan polis pada 14 Jan, Terence melakukan ujian saringan dadah dalam air kencingnya di sebuah klinik di Pulau Pinang, keesokannya.
“Saya juga telah pun dimaklumkan oleh YB Terence bahawa beliau telahpun membuat ujian kedua tersebut sendiri di Klinik O2 oleh kerana beliau tidak berpuas hati dengan keputusan pertama polis yang mendapati terdapatnya kesan dadah dalam air kencingnya.
“…dan juga oleh kerana permintaannya kepada pihak polis untuk melakukan ujian kedua tidak dibenarkan,” katanya.
Beliau berkata, menurut Terence sampel air kencing diambil di klinik berkenaan dianalisa di makmal Pathlab dan keputusan menunjukkan tiada sebarang jenis dadah dikesan dalam air kencingnya.
Ramkarpal ketika mengulas lanjut, berkata keputusan berhubung air kencing negatif dadah, diperoleh hari ini.
“Justeru, YB Terence telah pun membuat satu laporan polis hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah bagi melaporkan keputusan negatif ujian Pathlab tersebut dan memohon agar siasatan lanjutan dibuat,” katanya.
Katanya, justeru, susulan perkembangan baharu ini, pihaknya menggesa polis bertindak segera.
“YB Terence bersedia memberi segala kerjasama bagi tujuan tersebut,” katanya.
Pada 15 Jan lalu, Terence mendakwa beliau dihidangkan minuman aneh sebelum ditahan kerana didapati positif dadah di sebuah pusat hiburan di Pulau Pinang.
Katanya, pada malam kejadian, beliau diundang menghadiri perjumpaan dengan rakannya di Pulau Pinang.
“Apabila tiba di Perai, saya dibawa ke lokasi di mana saya akan kemudiannya ditahan. Saya teragak-agak untuk masuk ke premis terbabit, namun akhirnya masuk.
“Saya tidak mengambil sebarang bentuk bahan terlarang. Saya terkejut ketika dimaklumkan ujian air kencing saya positif kerana saya merokok pun tidak,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, beliau kemudian dimaklumkan pada keesokannya, bahawa ketika beliau ke tandas, seseorang datang ke meja dan mengisi gelas minumannya.