Penjualan sijil vaksinasi palsu dikesan di Kedah, kata Exco

Penjualan sijil vaksinasi palsu dikesan di Kedah, kata Exco

Buat masa ini tidak dapat didedahkan sama ada kes membabitkan doktor di pusat kesihatan swasta ataupun kerajaan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Dr Mohd Hayati Othman.

Setakat ini polis telah menerima laporan dari empat negeri iaitu Selangor, Terengganu, Johor dan Kelantan mengenai penjualan sijil vaksinasi palsu di klinik swasta. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kegiatan penjualan sijil vaksinasi Covid-19 palsu turut dikesan berlaku di Kedah, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Dr Mohd Hayati Othman.

Beliau berkata, siasatan sedang dilakukan bagi mengenalpasti sama ada penjualan sijil itu dilakukan oleh doktor di pusat kesihatan kerajaan atau swasta.

“Buat masa ini saya tidak dapat dedahkan sama ada kes ini membabitkan doktor di pusat kesihatan swasta ataupun kerajaan. Kes ini masih dalam siasatan polis dan Jabatan Kesihatan negeri,” katanya menurut laporan Bernama.

Dr Mohd Hayati berkata, siasatan juga menjurus bagi mengenal pasti sama ada aktiviti penjualan sijil vaksinasi palsu itu mempunyai kaitan dengan sindiket yang menjalankan kegiatan itu di negeri lain.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara Razarudin Husain, dilaporkan berkata setakat ini, polis menerima laporan dari empat negeri iaitu Selangor, Terengganu, Johor dan Kelantan, berhubung klinik swasta menjual sijil vaksinasi palsu.

Pada 8 Jan lalu, polis Terengganu menahan seorang doktor sebuah klinik swasta selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin Covid-19 palsu di Marang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.