
“Agak kecewa dengan pengumuman bahawa Massachusetts Institute of Technology (ranking #1 dunia) dari Amerika Syarikat dan Universiti Tsinghua (#17) telah memilih Indonesia dan bukan Malaysia untuk menubuhkan kampus universiti bersama,” katanya di Facebook.
Beliau berkata, Malaysia mampu menjadi hab pendidikan antarabangsa dengan kewujudan universiti tersohor dari luar negara yang akan menambahkan lagi keyakinan pelajar kepada negara kita.
Menurutnya, kewujudan kampus universiti antarabangsa di negara ini membolehkan pelajar tempatan meneruskan pengajian dengan kos yang rendah sekali gus menjadi pusat bagi pelajar dari rantau Asia dan dunia untuk datang belajar di sini.
“Selaras dengan hasrat itu, 11 kampus universiti antrabangsa telah ditubuhkan dalam tempoh saya menjawat jawatan Menteri Pendidikan (1995-1999) atau sebagai Perdana Menteri.
“Ini selaras dengan hasrat kerajaan BN dahulu bagi menjadikan pendidikan berkualiti sebagai landasan untuk meningkatkan modal insan yang kreatif, inovatif dan berkemahiran tinggi yang akan meningkatkan daya saing negara,” katanya.
Di sebalik perseteruan dengan Dr Mahathir Mohamad, Najib berkata, beliau sebenarnya menyokong cadangan bekas Perdana Menteri ke-4 dan ke-7 itu pada 2018 untuk bekerjasama dengan Universiti Tsukuba Tokyo bagi mendirikan kampus di Selangor atau Kedah.
“Namun seolah-olah tiada lagi perkembangan baru sejak itu berkenaan rancangan Universiti Tsukuba tersebut,” katanya.
Beliau berharap Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin akan berusaha menarik Universiti Tsukuba dan universiti terkenal dunia lain mendirikan kampus di Malaysia.