Lolos selepas ujian Covid-19, OKT dipenjara 4 bulan

Lolos selepas ujian Covid-19, OKT dipenjara 4 bulan

Hukuman itu dijatuhi ke atas R Theyagarajan, 24, yang mengaku bersalah melarikan diri daripada jagaan polis.

Tangkap layar video tular menunjukkan seorang OKT berpakaian ungu melarikan diri ketika urusan menaikkan sekumpulan OKT ke lori polis selepas menjalani saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Beranang pada 11 Jan lalu.
BANGI:
Seorang lelaki meloloskan diri ketika dibawa menaiki lori polis selepas menjalani saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Beranang, dekat sini, yang tular dalam media sosial, dipenjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi, hari ini.

Hakim Effandi Nazila Abdullah yang bertindak sebagai majistret menjatuhkan hukuman itu ke atas R Theyagarajan, 24, selepas dia mengaku bersalah melarikan diri daripada jagaan anggota polis yang menahannya secara sah di sisi undang-undang.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula tarikh tangkapan pada 9 Jan lalu.

Theyagarajan didakwa melakukan perbuatan itu di Klinik Kesihatan Beranang, Hulu Langat, di sini, pada 11 pagi, 11 Jan lalu mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh melarikan diri daripada tahanan dan kawalan polis, tetapi berjaya ditahan semula 50m dari lokasi kejadian sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu denda minimum, namun Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid, mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman penjara dengan mengambil kira dia membahayakan orang awam.

“Kebiasaannya mereka yang dituduh di bawah kesalahan ini boleh dipenjara antara enam bulan hingga setahun. Ia akan menjadi pengajaran kepadanya dan orang awam agar tidak mengulangi perbuatan tersebut,” kata Hakim Amir.

Media sebelum ini melaporkan 19 orang kena tahan (OKT) dari Balai Polis Kajang dibawa anggota polis ke klinik kesihatan berkenaan untuk menjalani saringan Covid-19.

Selepas saringan, semua OKT dimasukkan semula ke lori polis, namun seorang lelaki (tertuduh) cuba melarikan diri dan hasil semakan mendapati tertuduh ditangkap berhubung kes samun dan berada dalam tempoh reman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.