Halang sindiket rekrut pekerja Bangladesh, kata agensi

Halang sindiket rekrut pekerja Bangladesh, kata agensi

Persatuan Agensi Pengambilan Pekerja Antarabangsa Bangladesh (BAIRA) berkata kewujudan sindiket seperti itu akan mengakibatkan pekerja menjadi mangsa eksploitasi.

Sebanyak 25 ejen Bangladesh dan 250 sub-ejen dijangka terlibat merekrut pekerja dari negara itu ke Malaysia.
PETALING JAYA:
Sekumpulan agensi pekerja Bangladesh menggesa Perdana Menteri negara itu memastikan tiada sindiket terlibat dalam penghantaran tenaga kerja ke Malaysia.

Malaysia menamatkan pembekuan terhadap pengambilan pekerja Bangladesh baharu bulan lalu. Difahamkan, 25 agensi pekerjaan Bangladesh dan 250 sub-ejen dijangka terlibat dalam pengambilan tenaga kerja baharu dari negara itu ke Malaysia.

Dalam surat kepada Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina pada 13 Jan, Persatuan Agensi Pengambilan Pekerja Antarabangsa Bangladesh (BAIRA) menggesa beliau menghalang pembentukan sindiket menghantar rakyat negara itu bekerja ke negara ini.

Katanya, kewujudan sindiket seperti itu akan mengakibatkan pekerja menjadi mangsa eksploitasi.

Kumpulan itu turut mendakwa rasuah dan aktiviti pemerdagangan manusia akan meningkat akibat kewujudan sindiket seumpama itu.

Menurut laporan akhbar Bangladesh, The Daily Star hari ini, BAIRA mendakwa, sindiket yang merangkumi 10 agensi dipilih Malaysia memonopoli pengambilan tenaga kerja antara 2016 hingga 2018.

“Pada 2016-2018, hanya 274,000 pekerja direkrut dari Bangladesh walaupun kerajaan Malaysia mengumumkan seramai 1,500,000 diperlukan untuk tempoh tiga tahun berikutnya,” menurut surat itu.

“Berhubung mekanisme antara kerajaan, kos perekrutan pada mulanya ditetapkan sebanyak Tk37,000 (RM1,800) tetapi kemudian dinaikkan kepada Tk160,000 (RM7,800).

“Hakikatnya, setiap pekerja membelanjakan purata Tk350,000 (RM17,060) untuk bekerja di Malaysia.”

BAIRA mendakwa sindiket menyelewengkan sekurang-kurangnya Tk600 crore (RM293 juta) dengan menggunakan pemeriksaan kesihatan yang tidak diperlukan ke atas 1,200,000 pekerja Bangladesh.

Ia turut mendakwa sehingga RM2.4 juta wang digubah secara haram dari Bangladesh ke Malaysia antara 2016 hingga 2018, bagaimanapun ia tidak memberikan butiran lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.