Adakah Azam bohong mengenai akaun dagangan, soal Ahli Parlimen

Adakah Azam bohong mengenai akaun dagangan, soal Ahli Parlimen

Kenyataan terbaru Suruhanjaya Sekuriti berhubung isu itu didakwa hanya menimbulkan lebih banyak persoalan.

Ahli Parlimen pembangkang meminta Suruhanjaya Sekuriti menjelaskan kenyataan bahawa Azam Baki adalah pemegang saham dan beliau sendiri memberikan arahan membeli, menjual, dan memindahkan sekuriti-sekuriti menerusi akaun berkenaan.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen mempertikai sama ada Azam Baki berbohong apabila mengatakan adiknya telah menggunakan akaunnya untuk membeli saham, susulan kenyataan terbaru dikeluarkan Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Terdahulu hari ini, SC dalam kenyataannya berkata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu dinamakan sebagai pemegang akaun dan mempunyai kawalan ke atas akaun dagangan berkenaan.

Selain itu, beliau dikatakan mengendalikan akaun yang dibukanya itu, dengan memberikan arahan untuk membeli, menjual, dan memindahkan sekuriti-sekuriti menerusinya.

Susulan itu, beberapa Ahli Parlimen pembangkang memberi maklum balas terhadap kenyataan SC itu di media sosial.

Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii berkata kenyataan berkenaan membayangkan Azam mempunyai kawalan penuh terhadap akaunnya dan telah membeli saham itu sendiri.

“Jika penjawat awam dengan pangkatnya secara terbuka berbohong kepada umum, beliau tiada pilihan selain meletak jawatan,” kata pemimpin DAP Sarawak itu di Twitter.

Ahli Parlimen Subang Wong Chen berkata “penjelasan” SC terhadap kenyataan badan itu sendiri semalam hanya mencetuskan pelbagai soalan lain, memandangkan Azam sebelum ini menyatakan adiknya Nasir telah menggunakan akaun berkenaan untuk membeli saham itu.

“Saya merayu SC supaya memberikan lebih banyak butiran dan menjawab satu soalan mudah: ‘Adakah SC menyoal Azam Baki sebelum mencapai keputusan bahawa tiada pelanggaran Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA)?”, soalnya dalam kenyataan.

Sementara itu, Naib Presiden MUDA Lim Wei Jiet meminta SC menjelaskan sama ada Azam atau Nasir adalah pemilik benefisiari saham berkenaan.

Katanya, jika Nasir pemilik benefisiari itu, ia akan melanggar Seksyen 25(4) SICDA.

“Jika Azam (pemiliknya), maka Azam berbohong apabila mengatakan adiknya membeli saham itu menggunakan akaunnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.