Tipu kad vaksinasi Covid-19, pemilik klinik antara 4 ditahan di Kelantan

Tipu kad vaksinasi Covid-19, pemilik klinik antara 4 ditahan di Kelantan

Empat individu yang menerima vaksin di klinik itu tiada rekod vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera.

Polis menahan seorang pemilik klinik berusia 60-an dan tiga individu lain dalam tangkapan berasingan.
PETALING JAYA:
Pemilik sebuah klinik swasta berusia 60 tahun antara empat individu ditahan di Kota Bharu, Kelantan kerana disyaki terbabit dalam penipuan kad vaksinasi palsu Covid-19.

Ketua Polis Kelantan, Shafien Mamat berkata empat laporan diterima Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) sejak Oktober lalu sehingga 11 Jan daripada sumber berbeza berhubung kes itu.

“Hasil laporan diterima, kami menyerbu sebuah klinik swasta pada 11.19 pagi kelmarin bersama kakitangan JKNK. Kami menahan seorang pemilik klinik berusia 60-an dan tiga individu lain dalam tangkapan berasingan.

“Turut dirampas adalah kad vaksinasi dan lain-lain dokumen berkaitan,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Shafien berkata, klinik swasta terbabit dikatakan menawarkan vaksin dengan caj RM180 untuk setiap suntikan.

Katanya, hasil semakan JKNK, empat individu yang menerima vaksin di klinik itu tiada rekod vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera.

“Kesemua yang ditahan dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.