
Halimah juga memuji usaha pihak pengurusan kuil, termasuk Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves dan Pengerusinya R Nadarajah serta sukarelawan kerana dapat mengawal keadaan di kawasan persekitaran kuil semasa sambutan.
“Walaupun dalam keadaan SOP yang ketat, pihak pengurusan kuil berjaya menjaga keselamatan kesihatan penganut beragama Hindu yang menunaikan nazar bersempena sambutan hari Thaipusam,” katanya dalam ucapan selepas meninjau suasana sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves, di sini.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada pasukan polis kerana memastikan penganut beragama Hindu dapat melaksanakan ibadat dengan lancar.
Sementara itu, Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata, pihak Kuil Sri Subramaniar bakal membina sebuah dewan untuk manfaat masyarakat India di kawasan itu dan pembinaannya akan dilaksanakan tahun ini.
“Peranan saya dan Yang Berhormat (Halimah) adalah untuk mendapatkan dana yang secukupnya manakala bagi pengerusi kuil ini pula adalah mendapatkan kelulusan dengan kadar segera,” katanya.