‘Peserta’ Thaipusam bantu wanita Melayu bersalin dalam pikap di Batu Caves

‘Peserta’ Thaipusam bantu wanita Melayu bersalin dalam pikap di Batu Caves

Insiden tersebut berlaku ketika penganut mengikuti perarakan kereta lembu di sekitar perkarangan kuil.

Beberapa penganut menutup tingkap kenderaan pikap itu dengan kain. (Gambar LK Savantharaja)
PETALING JAYA:
Seorang wanita Melayu selamat melahirkan bayinya dalam sebuah trak pikap dibantu oleh sekumpulan penganut agama Hindu berdekatan Kuil Sri Subramaniar di Batu Caves pagi tadi.

Kejadian berlaku ketika ratusan penganut Hindu mengikuti perarakan kereta lembu di pekarangan kuil itu sempena sambutan Thaipusam.

Wartawan LK Savantharaja berkata, ketika mengikuti perarakan kecil itu, beliau dan beberapa penganut terdengar teriakan meminta tolong.

Savantharaja dan kumpulan penganut yang bersamanya bergegas ke trak pikap berkenaan dan menemui wanita itu dalam kesakitan hendak bersalin bersama suaminya.

LK Savantharaja bersama pasangan berkenaan. (Gambar LK Savantharaja)

Melihat keadaannya, beberapa penganut menggunakan sehelai kain untuk menutup tingkap kenderaan demi menjaga aib wanita berkenaan serta melindungi pasangan itu daripada panas terik matahari.

Setelah bayi perempuan itu selamat dilahirkan, Savantharaja membantu pasangan itu mencari pisau untuk memotong tali pusatnya.

Ambulans tiba tidak lama kemudian untuk memberi bantuan susulan. Ibu bersama bayinya dalam keadaan baik, menurut Savantharaja.

Beliau berkata, semua yang datang membantu pasangan itu terharu dengan kelahiran bayi perempuan itu, malah ada yang mengalirkan air mata.

“Kita bantu sesama kita kerana kita semua rakyat Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.