
Negara itu menghentikan import sarung tangan getah daripada Supermax pada November lalu, selepas membuat keputusan untuk menentukan langkah seterusnya, susulan laporan audit terhadap amalan buruh syarikat tersebut.
“Berdasarkan keseriusan dakwaan itu dan jangkaan garis masa bagi keputusan audit akhir, kerajaan Kanada telah memutuskan, dan Supermax Healthcare Canada bersetuju menamatkan persetujuan bersama dua kontrak sedia ada bagi bekalan sarung tangan nitril,” kata jabatan itu kepada Reuters dalam kenyataan menerusi emel hari ini.
Supermax Healthcare Canada pada Oktober 2021 mengesahkan memandangkan dakwaan umum amalan buruh paksa itu, Supermax Corp telah mendapatkan khidmat syarikat bebas untuk menjalankan audit menyeluruh ke atas operasinya mengikut petunjuk buruh paksa Pertubuhan Buruh Antarabangsa.
Susulan dakwaan sama pada awal Januari 2021 terhadap pengeluar sarung tangan Malaysia itu, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Pemerolehan Kanada meminta enam pembekal sarung tangan di Malaysia, termasuk Supermax Healthcare Canada menyediakan maklumat mengenai proses kajian daya maju dan langkah mitigasi untuk memenuhi tanggungjawab hak asasi manusia dan buruh sejagat mereka.
Ini termasuk butiran terperinci bagaimana mereka mengenal pasti, mencegah, mengurangkan dan menambah baik hak asasi manusia serta memastikan amalan itu dilaksanakan bagi memastikan perlindungan pekerja dalam rantaian bekalan mereka.
Sementara itu, Bernama gagal menghubungi syarikat itu.