
Pengarahnya, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, Sultan Selangor turut berkenan supaya jarak antara satu jemaah dengan jemaah lain ditetapkan 1m.
“Berikutan perkenan terkini Sultan Selangor, satu surat ketetapan mengenainya akan dikeluarkan dan diedarkan oleh jabatan ini kepada semua masjid dan surau terlibat dalam tempoh terdekat untuk dilaksanakan pada hari Jumaat bertarikh 21 Jan 2022,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, ketetapan baharu itu akan memberi kesan peningkatan kapasiti bilangan jemaah solat Jumaat di seluruh Selangor sehingga 35%, tertakluk kepada keluasan fizikal masjid dan surau, berbanding jumlah bilangan jemaah solat Jumaat dibenarkan melalui ketetapan terakhir jabatan itu pada 1 Nov 2021.
“Sebanyak 427 masjid dan 316 surau yang mendapat kebenaran solat Jumaat akan terlibat dengan ketetapan terbaru ini. Ketetapan baharu ini masih menetapkan bagi pihak pentadbir masjid dan surau untuk menguatkuasakan prosedur operasi standard yang ditetapkan kepada para jemaah,” katanya.
Shahzihan berkata, JAIS berharap ketetapan baharu ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh umat Islam khususnya golongan muda untuk berusaha mendapat tempat bagi menyempurnakan kefarduan solat Jumaat.
“Sayugia diingatkan bahawa hanya individu yang telah berusaha mendapatkan tempat bagi mendirikan solat Jumaat, lalu tidak berjaya, akan diangkat kefarduan Jumaatnya selaras dengan pandangan Jabatan Mufti Negeri Selangor mengenainya bertarikh 13 Jun 2020 dan 22 Julai 2020 yang masih dikekalkan sehingga kini,” katanya.